Tanda tanya mengenai Shahidan selepas Kadir letak jawatan

Tanda tanya mengenai Shahidan selepas Kadir letak jawatan

Pemimpin PPBM Tariq Ismail berkata jika pihak berkuasa mahu mendakwa Kadir kerana tulisannya, mereka juga mesti mendakwa Shahidan.

Free Malaysia Today
Kadir meletak jawatan kerana artikel blog yang menyentuh mengenai raja-raja, manakala Shahidan dituduh mengeluarkan kenyataan berunsur derhaka. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA:
Peletakan jawatan pemberita veteran Datuk A Kadir Jasin sebagai jurucakap kerajaan disambut baik sebilangan ahli politik, yang turut mendesak tindakan sama diambil ke atas pemimpin Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kenyataan mengenai Raja Perlis.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail mengakui laporan polis dibuat terhadap Kadir berhubung artikel tentang Yang di-Pertuan Agong di laman blog beliau dan berkata proses undang-undang mesti berjalan.

Akan tetapi beliau juga menggesa perhatian serius terhadap Sahidan, yang mempersoalkan keputusan Raja Perlis melantik menteri besar walaupun ditentang Adun yang lain.

Laporan polis dibuat terhadap kedua-dua Kadir dan Shahidan. “Jika pihak berkuasa mahu mendakwa Kadir kerana tulisannya, maka mereka juga perlu mendakwa Shahidan,” kata Tariq.

“Kadir memberi jaminan kepada raja-raja bahawa mereka dilindungi di bawah perlembagaan, tetapi mereka juga perlu mematuhi peruntukan perlembagaan. Bagaimanapun, oleh sebab ia juga berkaitan ehwal kewangan Yang di-Pertuan Agong, keadaan menjadi rumit,” katanya.

Kadir hari ini memaklumkan peletakan jawatan beliau berikutan artikel tersebut, yang walaupun ditulis atas kapasiti peribadi, boleh mencemarkan Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik perdana menteri. Peletakan jawatan beliau diterima pengerusi majlis, Tun Daim Zainuddin.

Penganalisis politik Dr Mohamad Agus Salim memberitahu FMT bahawa “Kadir membuat keputusan tepat dengan meletak jawatan kerana jika sebaliknya usaha baik majlis itu selama ini akan terkesan.”

Katanya isu berkaitan raja-raja adalah sensitif dalam kalangan rakyat dan pihak yang bercakap tentangnya secara terbuka perlu berdepan akibatnya.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail berkata artikel Kadir, walaupun merupakan pandangan peribadi, boleh juga dianggap mewakili majlis penasihat berdasarkan kedudukan beliau sebagai jurucakap majlis tersebut.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, peletakan jawatan Kadir adalah pilihannya sendiri. “Jika tujuannya untuk meredakan kekeliruan dan baik untuk demokrasi, maka kenapa tidak? Dia berhak menyuarakan pandangannya.”

Shahidan sebelum ini mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar, yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Bulan lepas, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) cawangan Perlis menganggap komen Shahidan berkenaan pelantikan itu sebagai menderhaka.

Timbalan Presiden Mubarak Perlis, Datuk Bahari Taib berkata beberapa kenyataan Shahidan yang dibuat di Kuala Lumpur adalah keterlaluan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.