Jangan terburu-buru jadikan Umno parti semua kaum, kata veteran

Jangan terburu-buru jadikan Umno parti semua kaum, kata veteran

Ambil langkah satu demi satu, kata bekas bendahari Azim Zabidi, kerana langkah itu boleh menyebabkan penyokong tegar berpaling ke parti lain.

Free Malaysia Today
Azim Zabidi meminta Umno jangan bertindak tanpa berfikir ke depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Politik pelbagai kaum akan mengambil masa yang sangat lama, kata veteran Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi hari ini, menggesa rakan seperjuangan bertenang dan tidak membuat tindakan terburu-buru apabila mencadangkan reformasi Umno.

Beberapa cadangan dibuat oleh ahli Umno tentang membuka keahlian parti kepada semua kaum, berikutan kekalahan Bariasan Nasional pada pilihan raya umum bulan lepas.

Azim bersetuju politik pelbagai kaum ialah politik masa depan tetapi “anda perlu mengambil langkah satu demi satu dan dapatkan sokongan daripada seberapa ramai pihak berkepentingan. Sekarang ini, jika anda buka Umno, anda hanya akan meminggirkan ramai penyokong tegar dalam kalangan orang Melayu.”

Beliau berkata masalah pemimpin Umno sejak sekian lama untuk mereka mudah tersentak.

“Apabila sesuatu berlaku tiba-tiba mereka mahu lakukan ini atau itu, tanpa memikirkan apakah kesan tindakan atau langkah itu,” katanya.

Bekas bendahari Umno ini berkata: “Sesiapa yang bijak akan mahu berhijrah dari politik kaum tapi kita juga perlu tahu penghijrahan ini akan mengambil masa yang lama. Ia tidak akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang, ia mungkin tidak akan berlaku dalam hayat kita.”

Cadangan membuka Umno diutarakan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan cadangan itu mendapat sokongan daripada pemimpin lain termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz, yang dilaporkan bersetuju dengan cadangan itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi, dari Universiti Malaya, bersetuju dengan Azim, dan meramalkan Umno akan kehilangan sokongan pengundi Melayu dan ahli-ahli umum jika dijadikan parti semua kaum.

“Saya menjangkakan 60% ahli Umno akan melompat ke PPBM dan 15%-20% lagi pergi ke PAS sebaik sahaja Umno diisytiharkan terbuka kepada semua kaum.”

Umno tidak akan peroleh apa-apa kerana penyokong Pakatan Harapan tidak akan menyokong Umno hanya semata-mata parti itu sudah menjadi pelbagai kaum.

“Apa yang penting bagi rakyat ialah parti dengan pemimpin yang berintegriti, bebas rasuah dan benar-benar memperjuangkan agenda parti dan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.