Rakan kongsi Jepun tarik diri, jika UMW ambil alih Perodua

Rakan kongsi Jepun tarik diri, jika UMW ambil alih Perodua

Pemegang saham mengingatkan kerajaan risiko kehilangan rakan kongsi Perodua jika rancangan ambil alih tidak dihalang.

Free Malaysia Today
Cadangan pengambilalihan oleh UMW boleh mengakibatkan penarikan diri 2 rakan kongsi Perodua dari Jepun, iaitu Daihatsu Motor Co Ltd dan Mitsui & Co Ltd, yang menyediakan kemahiran teknikal dan akses kepada teknologi yang penting.
PETALING JAYA:
Kerajaan Pakatan Harapan digesa menghalang cadangan pengambilalihan syarikat pembuat kereta negara Perodua oleh UMW Holdings Sdn Bhd kerana ia berkemungkinan mengakibatkan 2 rakan kongsi dari Jepun menarik diri.

Perodua yang mencatatkan keuntungan memberangsangkan menguasai 40% daripada pasaran kereta Malaysia dengan jualan lebih 200,000 unit setahun.

UMW Holdings, sebuah syarikat berkaitan kerajaan memiliki 38% saham Perodua, tetapi mahu menguasai kawalan majoriti ke atas syarikat itu dengan membeli tambahan 22.5% saham yang kini dipegang oleh anak syarikat Med-Bumikar Mara, MBM Resources.

Pemegang saham Med-Bumikar berkata, “susunan sekarang berjalan baik, semua pihak boleh lihat berdasarkan dominasi Perodua dalam pasaran negara. Jadi kenapa perlu diubah sesuatu yang tidak rosak?”

Cadangan pengambilalihan oleh UMW boleh mengakibatkan penarikan diri 2 rakan kongsi Perodua dari Jepun, iaitu Daihatsu Motor Co Ltd dan Mitsui & Co Ltd, yang menyediakan kemahiran teknikal dan akses kepada teknologi yang penting.

Dua syarikat itu tidak bersetuju dengan rancangan pengambilan tersebut, kata pemegang saham itu lagi yang tidak mahu dikenali.

Katanya, berkemungkinan juga akan berlaku konflik kepentingan kerana bekas Pengerusi Mara, Datuk Awang Adek Hussin juga merupakan ahli lembaga pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB), syarikat induk UMW, apabila langkah ambil alih itu bermula.

Pengambilalihan tersebut juga berlawanan dengan perjanjian pemegang saham, katanya, dan boleh menyebabkan hilang keyakinan dalam kalangan pelabur asing.

Mara memiliki 30% kepentingan dalam Med-Bumikar, sementara bakinya dimiliki oleh 6 keluarga pengasas syarikat itu dengan 11.6% kepentingan setiap satu. Pemegang saham Med-Bumikar bersetuju untuk menjual tetapi beranggapan tawaran UMW adalah rendah, dan mahukan harga lebih tinggi.

Dua kesatuan sekerja Perodua, yang mewakili hampir 8,000 kakitangan juga menolak cadangan ambil alih itu.

Perodua merupakan syarikat pembuat kereta Malaysia kedua dan bermula dengan mengeluarkan kereta supermini Kancil. Ia menguasai pasaran tempatan bermula 2006 apabila mengeluarkan model popular Myvi hatcback, dan mengambil alih saham pasaran daripada Proton.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.