Laporan: Australia sedia serah bekas polis Sirul Azhar

Laporan: Australia sedia serah bekas polis Sirul Azhar

Akhbar UK melaporkan Sirul Azhar dijangka meninggalkan Australia dalam masa sebulan

Free Malaysia Today
Bulan lepas Sirul menuntut diberikan pengampunan penuh sebagai syarat untuk kembali ke Malaysia dan menceritakan kisah sebenarnya kepada kerajaan baru Pakatan Harapan.
PETALING JAYA:
Australia menerima permohonan Malaysia untuk mengekstradisi bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, dan dijangka meninggalkan negara itu dalam masa sebulan, lapor akhbar The Guardian hari ini.

Memetik beberapa sumber, akbar UK itu berkata permohonan itu diterima pihak Australia selepas Malaysia bersetuju mmbayar kos terlibat.

Sirul, yang disabitkan tuduhan membunuh Altantuya pada 2009, dijatuhi hukuman gantung sampai mati bersama-sama rakan sejenayah beliau, Azilah Hadri.

Mereka dibebaskan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan pada 2013 selepas menimbulkan persoalan tentang cara bagaimana perbicaraan dijalankan.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas mereka pada 2015. Sirul melarikan diri keluar negara sebelum penghakiman itu dibuat dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sepanjang 3 tahun lepas.

Menurut undang-undang Australia, beliau tidak boleh dihantar pulang ke Malaysia kerana berhadapan dengan hukuman mati.

Sirul mendakwa beliau diarahkan oleh “orang penting” supaya membunuh Altantuya, dan bulan lepas menuntut diberikan pengampunan penuh sebagai syarat untuk kembali ke Malaysia dan menceritakan kisah sebenarnya kepada kerajaan baru Pakatan Harapan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dibebaskan dari penjara bulan lepas selepas diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, menggesa Sirul dibawa balik untuk menghadpi perbicaraan baru.

Beliau memberitahu akhbar Australia bahawa perbicaraan asal dan keputusan hakim tidak sahih dan keengganan hakim memanggil saksi yang relevan merupakan perbuatan “mengolok-olokkan undang-undang”.

Altantuya merupakan kekasih Abdul Razak Baginda, bekas sekutu rapat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau didakwa merancang sogokan bagi pembelian kapal selam buatan Peranchis pada 2002.

Razak pada mula dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu, tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008. Pihak pendakwa tidak membuat rayuan terhadap pembebasan itu.

Najib menafikan sebarang salah laku berkaitan urus niaga berkenaan walaupun terdapat dakwaan firma pembuat kapal selam Peranchis itu, DCNS, membayar “komisen” lebih 114 juta euro bagi pembelian 2 kapal selam Scorpene, yang dikatakan merupakan sogokan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.