Kerana cemburu, wanita dibakar teman lelaki

Kerana cemburu, wanita dibakar teman lelaki

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa berusia 24 tahun melecur hampir 60% di beberapa bahagian badan dalam kejadian kira-kira 10.00 pagi itu.

Free Malaysia Today
Kejadian itu bermula apabila pasangan kekasih tersebut bertengkar di bilik tidur rumah suspek kerana mangsa mengesyaki teman lelakinya berhubungan dengan wanita lain. (Gambar fail)
KLANG:
Akibat tidak tahan dengan sikap cemburu teman wanita, seorang mekanik kereta sanggup memukul dan membakar pasangannya itu hidup-hidup dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Andalas semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa berusia 24 tahun melecur hampir 60% di beberapa bahagian badan dalam kejadian kira-kira 10.00 pagi itu.

“Kejadian itu bermula apabila pasangan kekasih tersebut bertengkar di bilik tidur rumah suspek kerana mangsa mengesyaki teman lelakinya berusia 24 tahun itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.

“Pertengkaran tersebut berlarutan sehingga mangsa dipukul di bahagian badannya menggunakan getah paip sebelum suspek bertindak menyimbah petrol dan menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shamsul berkata kejadian itu turut disedari bapa lelaki terbabit yang pada waktu itu sedang tidur bersebelahan bilik suspek apabila beliau terhidu bau asap sebelum menemui mangsa.

Beliau berkata selain mangsa, suspek turut mengalami kecederaan apabila tangannya disambar api ketika membakar teman wanitanya.

“Pasangan terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang oleh bapa suspek untuk menerima rawatan.

“Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan suspek ditahan di hospital pada hari yang sama (semalam)” katanya.

Suspek kini direman 7 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.