Bernas tidak tutup, cuma monopoli dikurangkan, kata Salahuddin

Bernas tidak tutup, cuma monopoli dikurangkan, kata Salahuddin

Beliau berkata kerajaan berhasrat mengurangkan monopoli syarikat itu terhadap pengeluaran beras dengan turut memberikan lesen kepada beberapa syarikat lain.

Free Malaysia Today
Salahuddin berkata kerajaan tidak mahu hapuskan Bernas tetapi setelah masa berlalu, ada beberapa masalah dan keperluan untuk pecahkan monopoli (Bernas terhadap pengeluaran beras).
KOTA BHARU:
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Salahuddin Ayub berkata kerajaan tidak bercadang menutup Padiberas Nasional Bhd (Bernas) walaupun monopoli syarikat itu terhadap pengeluaran beras akan dikurangkan.

Beliau berkata kerajaan hanya berhasrat mengurangkan monopoli syarikat itu terhadap pengeluaran beras dengan turut memberikan lesen yang sama kepada beberapa syarikat lain.

“Kita bukan nak hapuskan Bernas cuma setelah masa berlalu, kita lihat ada beberapa masalah dan keperluan untuk pecahkan monopoli (Bernas terhadap pengeluaran beras).

“Untuk pecahkan monooli ini juga perlukan kawalan sebab ini berkaitan dengan keselamatan makanan,” katanya selepas menghadiri majlis dialog bersama pesawah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nilam Puri, semalam.

Salahuddin berkata ada beberapa entiti lain akan terlibat dalam pemecahan monopoli itu namun pihaknya masih belum memuktamadkan agensi mana yang akan terlibat setakat ini.

Katanya beliau akan membawa kertas cadangan berkaitan perkara itu kepada Kabinet setelah ia selesai dibincangkan di peringkat kementerian.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Salahuddin sebagai berkata monopoli Bernas sebagai pengeluar beras negara akan dihentikan.

Ditanya mengenai pengenalan dasar dan polisi baru bagi kementerian berkenaan, Salahuddin berkata beliau masih melakukan lawatan dan mendengar taklimat daripada agensi di bawah MOA.

“Saya belum habis mendengar taklimat daripada agensi di bawah MOA. Lepas dengar semua taklimat nanti kita akan buat kesimpulan sekiranya ada isu besar membabitkan polisi atau dasar baru,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.