
Dalam video itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2), Cawangan Khas di Bukit Aman, Datuk Awaludin Jadid berkata, sesuatu perlu dilakukan ke atas Syiah di negara ini.
Awaludin didakwa berkata, Syiah menembusi institusi kerajaan dan agama serta “berbahaya”.
Stothard membaca transkrip itu pada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan Amri Che Mat. Video tersebut dimuat naik ke YouTube sebelum Amri hilang.
Video tersebut dikatakan sebahagian daripada ucapan Awaludin pada 6 November 2016 dalam majlis “Belia Menentang Keganasan”.
Amri hilang pada 25 November 2016.
Menurut transkrip itu, Awaludin dilihat mengimbau masa sebelum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, dengan berkata undang-undang seperti Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) memerlukan suspek ditahan sebelum dibawa ke mahkamah.
Awaludin juga bercakap mengenai keperluan merangka strategi baru untuk menangkap Syiah selepas beberapa kali menyebut Syiah berbahaya.
“Bagi saya ia mudah. Anda memerlukan pencuri untuk menangkap pencuri. Anda perlu berfikir seperti pencuri.”
Menurut transkrip itu, Awaludin juga berkata, Syiah lebih teruk daripada IS.
“Jangan terlalu memberi perhatian kepada IS sehingga kamu lupa musuh sebenar, Syiah. Dari sebuah negeri ke negeri lain, saya menggesa mufti memberi tumpuan kepada musuh kita yang sebenar, Syiah.”
Apabila Stothard selesai membaca transkrip itu, giliran pemerhati polis ACP R Munusamy menyoalnya.
Soalan pertama ialah sama ada Awaludin dalam video itu ada berkata keganasan akan digunakan terhadap pengikut Syiah.
“Tidak, dia tidak, tapi…,” kata Stothard sebelum Munusamy mencelah dan berkata: “Tolong jawab soalan itu.”
Beliau kemudian bertanya jika Awaludin ada berkata pengikut Syiah perlu diculik.
“Kenyataannya tidak membangkitkan penculikan,” jawab Stothard.
Munusamy kemudian meminta pendapat Stothard sama ada seorang individu didakwa pemberi maklumat polis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud yang juga pegawai baharu, mempunyai akses kepada maklumat yang beliau sepatutnya kongsi.
Untuk ini, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai meminta Stothard tidak menjawab soalan itu.
“Macam mana dia tahu itu?” beliau tanya Munusamy.
Kemudian, peguam keluarga Amri, Philip Koh menggesa panel itu memberitahu Shamzaini mendapatkan peguam sebelum memberi keterangan pada 25 Jun ini.
“Beliau mungkin tidak tahu haknya, termasuk haknya untuk dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat,” katanya.
Mah bagaimanapun berkata, ia bukan tanggungjawab panel atau peguam keluarga untuk memberitahu Shamzaini untuk mendapatkan peguam.
Beliau bagaimanapun memberitahu Suhakam untuk melakukan perkara sewajarnya.