
Dalam kenyataan medianya, SPRM menamakan Nik Faisal Ariff Kamil yang memiliki kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 mempunyai alamat terakhir di No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor.
Individu kedua pula ialah Low Taek Jho yang memiliki kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 mempunyai alamat terakhir di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
SPRM dalam masa yang sama turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua individu itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 03-88700529 atau 010-3187757, emel kepada [email protected] atau mana-mana Pejabat SPRM terdekat.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan 2012.
Selasa lalu, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor disiasat oleh SPRM bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International.
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini turut dipanggil sebanyak 2 kali iaitu pada 22 dan 24 Mei lalu berhubung syarikat terbabit.