Polis yakin tangkap Jamal dalam masa terdekat, kata KPN

Polis yakin tangkap Jamal dalam masa terdekat, kata KPN

Usaha memburu dan mengesan pemimpin Umno itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama polis Indonesia.

Free Malaysia Today
KPN lancarkan Ops Selamat 13 bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini di Menara TM, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini melahirkan keyakinan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos akan dapat ditangkap dalam masa terdekat.

Beliau berkata, usaha memburu dan mengesan beliau sedang giat dilakukan oleh pihaknya.

“Saya berhubung terus dengan rakan sejawat di Indonesia untuk bantu kita mengesan Datuk Jamal ini.

“Segala tindakan telah diambil dan kita yakin akan dapat tangkap dia dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Ops Selamat 13, di Menara Telekom hari ini.

Kelmarin, Jamal berkata beliau masih di Malaysia dan tidak berada di luar negara seperti yang didakwa.

Beliau berkata, tindakan kerajaan meminta campur tangan Interpol untuk mengesannya bagi kes kesalahan kecil yang membawa denda RM400 hanya membuang masa.

Mengulas lanjut, Fuzi turut percaya Jamal pada masa ini berada di Indonesia.

“Kita tahu dia berada di Indonesia,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan kebarangkalian ketua Umno Sungai Besar itu keluar negara mengikut laluan tikus adalah tinggi.

Menurutnya, ini disebabkan mengikut rekod dengan Jabatan Imigresen tidak mempunyai rekod keluar masuk Jamal.

Dalam pada itu, Fuzi turut mengesahkan pihaknya mengambil tindakan terhadap pegawainya yang cuai semasa di hospital sehingga Jamal berjaya melarikan diri.

“Tindakan jabatan kita akan ambil, kita akan siasat…kita pun ada proses juga, bukan boleh terus tahan kerja dan sebagainya.

“Kalau betul-betul bersalah pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) akan ambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lokasi keberadaan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Fuzi berkata, beliau telah menulis surat kepada rakan sejawatnya di Brunei.

“Dilaporkan dia berada di luar negara dan ada yang kata dia di Brunei. Saya juga telah tulis surat kepada rakan saya Ketua Polis Negara Brunei.

“Dia (Musa) pun tak ada rekod tinggalkan negara ini. Kita percaya dia tinggalkan negara kita tempoh hari melalui Brunei,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.