Lebih 50% kakitangan Utusan diberhentikan tahun ini

Lebih 50% kakitangan Utusan diberhentikan tahun ini

Syarikat itu berkata langkah itu sebahagian daripada inisiatif penstruktutan semula syarikat susulan kerugian.

Free Malaysia Today
Utusan berusaha mengelakkan kerugian antara RM7.7 hingga RM8 juta setiap bulan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Utusan Melayu Bhd (UMMB) dijangka melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada tahun ini melibatkan paling kurang 50% daripada 1,400 kakitangan semua peringkat dalam langkah penstrukturan semula syarikat dan pengurangan kos secara menyeluruh.

Pengarah Urusan Kumpulan UMMB Datuk Mohd Noordin Abbas dilaporkan berkata langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif penstruktutan semula syarikat, tetapi perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah terlebih dahulu.

“Kita jangka langkah VSS ini akan dibuat tidak lama lagi, tetapi bergantung kepada kelulusan lembaga pengarah. Ini kerana UMMB tidak boleh beroperasi dengan jumlah pekerja yang ramai, ” katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia.

Beliau juga berkata, UMMB perlu melaksanakan langkah pengurangan kos secara menyeluruh bagi mengelakkan kerugian antara RM7.7 hingga RM8 juta setiap bulan, dan percaya langkah yang diambil itu dapat membantu usaha membina semula syarikat dalam menghadapi cabaran dalam industri media.

Aziz berkata untuk masa depan, UMMB akan memberi tumpuan kepada segmen digital selain memperkasa edisi cetak akhbar itu kerana ia adalah aktiviti pemangkin syarikat.

Katanya perubahan landskap politik ketika ini, masih menyediakan potensi kepada syarikat untuk meningkatkan edaran dan jumlah pembacaya.

“Kita menghormati keputusan pilihan raya umum ke-14, dan sudah tentu kita akan memberi laporan seluas mungkin kepada kerajaan baru atas nama ‘nation building’ atau pembinaan negara kerana ini adalah tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau berkata cabaran yang dihadapi akhbar itu kini ialah untuk berperanan kepada golongan pembaca setia, selain menarik lebih ramai pembaca muda dan terus menjaga kepentingan pihak berkepentingan seperti pemegang saham utama.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak mengakui langkah VSS itu sudah agak terlewat memandangkan organisasi media lain telah mengambil langkah sama sebelum ini.

“Utusan terlalu mengutamakan kebajikan kakitangan tetapi realiti hari ini menuntut kita melakukan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini,” beliau dipetik sebagai berkata.

 

Utusan kesuntukan masa, kakitangan diberi peringatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.