Kerajaan pusat setuju royalti minyak terus kepada negeri, kata MB Terengganu

Kerajaan pusat setuju royalti minyak terus kepada negeri, kata MB Terengganu

MB Terengganu, Ahmad Samsuri berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan perdana menteri di Kementerian Kewangan hari ini.

PUTRAJAYA:
Kerajaan Persekutuan setuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya 5% terus kepada negeri pengeluar minyak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir memaklumkan negeri berkaitan termasuk Terengganu akan menerima wang royalti minyak terus kepada kerajaan negeri.

“Ia dipersetujui secara prinsip. Kuantum akan dibincang selepas ini. Yang penting (wang royalti) terus kepada kerajaan negeri.

“Ini janji kerajaan Persekutuan. Seluruh rakyat Terengganu mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan pusat menyalurkan royalti secara terus,” katanya selepas menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menteri besar dan ketua menteri.

Ia merupakan mesyuarat pertama Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Dr Mahathir setelah Pakatan Harapan memenangi pilihan paya umum 9 Mei lepas.

Terengganu tidak menerima royalti minyak sejak 2000 sebaliknya menerima wang ehsan.

Sabah dan Sarawak pula menerima 5% royalti minyak manakala Kelantan menerima wang ehsan minyak sejak 2010.

Ahmad Samsuri berkata wang ehsan itu disalurkan kepada agensi pusat di negeri seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan sebelum ini.

“(Royalti minyak) akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri tidak kira dari parti mana, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Berhubung peruntukan untuk anggota Parlimen yang diumumkan Dr Mahathir semalam, Ahmad Samsuri berkata Terengganu menghargai pemberian yang diberikan.

“Saya ucapkan terima kasih walaupun jumlah tidak sama tetapi pemberian tetap pemberian… sedikit atau banyak ia satu perkara kita hormati.

“Kita amat menghargai komitmen kerajaan pusat untuk membantu kerajaan negeri tanpa mengira parti politik,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada setiap anggota Parlimen PH manakala RM100,000 anggota Parlimen pembangkang.

Ditanya sama ada peruntukan akan diberi kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Terengganu, Ahmad Samsuri berkata: “Kita akan lihat status kedudukan kewangan kerajaan negeri sebelum membuat keputusan”.

https://www.youtube.com/watch?v=pgFOlzmU-xY&feature=youtu.be

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.