Aktivis bidas polis atas siasatan hasutan Kadir Jasin

Aktivis bidas polis atas siasatan hasutan Kadir Jasin

Lawyers for Liberty terkejut polis akan menyiasat bekas editor itu di bawah akta kontroversi yang digunakan kerajaan lama.

Free Malaysia Today
Gerakan Hapus Akta Hasutan menggesa Fuzi Harun yang ‘masih di minda lama’ supaya menyesuaikan diri dengan ‘era Malaysia baru’.
PETALING JAYA:
Peguam dan aktivis membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang memulakan siasatan ke atas bekas editor, Datuk A Kadir Jasin kerana polis sepatutnya tahu Malaysia bukan lagi di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Lawyers for Liberty (LFL) dan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH), sebuah kumpulan berkempen untuk pemansuhan Akta Hasutan, berkata keputusan menyiasat bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press itu bertentangan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan akta bersifat menindas.

LFL bekata, kenyataan Fuzi “mengejutkan dan tidak boleh diterima” di bawah kerajaan baru PH.

“Ketua polis negara perlu sedar Malaysia bukan lagi diperintah rejim BN menindas, yang sebelum ini mendakwa orang hanya kerana melaksanakan hak kebebasan bersuara mereka,” kata jurucakap LFL, Latheefa Koya.

Sementara itu, GHAH berkata, Fuzi “masih di minda lama” dan menggesa beliau menyesuaikan diri dengan “era Malaysia baru”.

“Jika tidak, GHAH menasihatkan beliau supaya mengikut jejak langkah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim serta beberapa ‘pengarah eksekutif’ yang telah melepaskan jawatan masing-masing,” kata jurucakap GHAH, Amir Abd Hadi.

Hari ini, Fuzi dilaporkan berkata, Kadir yang merupakan ahli PPBM serta jurucakap bagi Majlis Penasihat Kerajaan ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad, akan disiasat kerana menyalahgunakan internet di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan 3 laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Kadir menulis beberapa artikel di blognya yang dilihat mengkritik raja Melayu, dengan salah satunya mendakwa dana kerajaan kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan pertemuannya dengan beberapa sultan dan kerabat diraja baru-baru ini bertujuan meyakinkan mereka mengenai komitmen PH mempertahankan institusi raja.

Semalam, Anwar mengkritik Kadir dengan berkata, perlu ada rasa hormat dan tertib dalam urusan dengan raja Melayu.

Latheefa berkata, mereka yang terjejas dengan artikel Kadir perlu bertindak dengan cara “bertamadun”.

“Hanya kerana beberapa kumpulan sayap kanan membuat laporan polis, ia tidak bermakna polis perlu memulakan siasatan tidak perlu dan membazir. Polis tidak wajib menyiasat laporan tiada merit.

“Semua siasatan di bawah undang-undang diragui ini perlu dihentikan sepenuhnya sementara menunggu pemansuhan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.