Penjawat awam Perak, Terengganu terima duit raya

Penjawat awam Perak, Terengganu terima duit raya

Perak serah RM1,000 setiap seorang kepada 15,000 penjawat awam, manakala Terengganu menyerahkan RM500 kepada 12,000 kakitangan awamnya.

Free Malaysia Today
Pembayaran bonus kepada penjawat awam Terengganu bagaimanapun disalurkan selepas Hari Raya berikutan beberapa masalah teknikal dan pentadbiran. (Bernama pic)
IPOH:
Kerajaan Perak hari ini mengumumkan bantuan kewangan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 seorang kepada 15,000 penjawat awam negeri termasuk pekerja kontrak dan sambilan.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata pembayaran bantuan kewangan itu dibuat secara berperingkat bermula hari ini.

“Kita setuju untuk memberikan RM1,000 kepada semua kakitangan awam. Saya harap dengan bonus berkenaan dapat kita menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah tetapi dalam masa yang sama diingatkan agar semua berjimat cermat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri bawah Pakatan Harapan (PH) memutuskan gaji asas menteri besar dan semua 10 ahli exco akan dipotong 10%, berkuat kuasa serta-merta.

Semua exco termasuk menteri besar juga diminta melakukan pengisytiharan harta kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya penghujung bulan ini, katanya.

“Seperti kita telah janjikan dalam tawaran Pakatan Harapan sebelum ini, semua exco diarahkan segera buat pengisytiharan harta. Ia akan diumumkan (kepada awam) bila ada keperluan. Potongan gaji itu juga dibuat bagi mengikuti langkah yang dibuat oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Di Terengganu, kerajaan negeri hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.3 juta pembayaran bonus kepada kira-kira 12,000 penjawat awamnya sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata pemberian bonus sebanyak RM500 itu akan diberi kepada semua penjawat awam termasuk yang berstatus tetap dan kontrak.

“Bagaimanapun, pembayaran bonus itu dijangka akan disalurkan selepas Hari Raya berikutan beberapa masalah berkaitan teknikal dan urusan pentadbiran.

“Pembayaran bonus ini diharap akan meringankan beban kewangan penjawat awam negeri di Terengganu dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri mereka,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco hari ini.

Selain itu, Mohd Nor yang juga Adun Bukit Payong berkata, kerajaan negeri turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai hasil tanah sehingga 31 Oktober ini.

“Kita banyak terima aduan daripada orang ramai mereka tidak sempat membayar cukai itu yang tarikh akhirnya pada 31 Mei lalu.

“Jadi, kita lanjutkan tempoh bayaran selama 5 bulan lagi tanpa sebarang denda dan diharap rakyat berpeluang membayar cukai tanah dalam tempoh tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata agihan Dana Bakti Remaja juga akan dilanjutkan kepada 16,289 penerima yang masih belum menebus baucar tunai itu.

“Keseluruhannya, terdapat 117,284 penerima dana ini dan kebanyakan mereka sudah pun menebus wang dana tersebut sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu, namun baki 16,289 penerima itu akan menerima wang mereka sebelum Aidilfitri ini.

“InsyaAllah ia akan disegerakan oleh Adun dan Pejabat Daerah di kawasan masing-masing dalam tempoh terdekat agar boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.