Rancang kenaikan gaji minimum elak kejutan industri, kata bos Mydin

Rancang kenaikan gaji minimum elak kejutan industri, kata bos Mydin

Operator pasaraya Ameer Ali Mydin berkata kadar SST permulaan yang rendah boleh meningkatkan pematuhan dalam kalangan peruncit.

Free Malaysia Today
Ameer Ali berkata kenaikan secara progresif lebih baik berbanding kenaikan mendadak. (gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rantaian pasaraya Mydin, menasihatkan kerajaan supaya meningkatkan gaji minimum secara berperingkat bagi mengelakkan kejutan kepada industri runcit.

Beliau berkata sebarang kenaikan mesti dirancang awal dan dimaklumkan kepada industri dengan jelas.

“Kenaikan secara progresif dan makluman lebih awal lebih baik berbanding kenaikan mendadak. Maklumkan dengan jelas sama ada kenaikan itu pada kadar RM50 atau RM100 setahun.

“Juga, kuantum kenaikan mesti lebih tinggi berbanding kadar inflasi, jika tidak pengguna tidak mempunyai lebihan pendapatan untuk berbelanja.

“Peruncut bergantung kepada lebihan pendapatan. Jadi, jika ada lebihan pendapatan yang banyak, sudah tentu akan membantu peruncit,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan pandangannya kepada Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

Beliau turut memaklumkan keadaan industri runcit kepada majlis itu, cara mengurangkan kos sara hidup dan dasar yang akan membantu memacu industri itu.

Mengulas cadangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka diperkenalkan September ini menggantikan GST, Ameer berkata kadar SST permulaan yang rendah boleh meningkatkan pematuhan dalam kalangan peruncit.

“Misalnya anda tetapkan kadar SST yang rendah, sekitar 3% hingga 4$, maka pematuhan akan lebih tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.