
Adun Ba’kelalan itu berkata, ia memberi gambaran seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan dalam urusan membabitkan sewa premis sementara Hospital Daerah Lawas itu.
Beliau berkata, tunggakan sewa 30 bulan terlalu lama dan beliau hairan bagaimana tuan tanah boleh bersabar begitu lama.
“Alasan pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Lawas kononnya ia berpunca daripada ‘kesilapan dalam dokumen perjanjian’ tidak boleh diterima akal kerana kalaupun ada kesilapan, ia tidak sepatutnya dibiar berlanjutan hampir 3 tahun,” kata Baru yang juga pengerusi PKR Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, beliau gembira Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim mengambil tindakan segera memberi penjelasan berhubung masalah bayaran sewa tertunggak itu.
Menurut Baru, pelbagai masalah melanda projek pembinaan hospital baharu di Lawas itu yang diumumkan pada 2011 dengan peruntukan RM121 juta. Pembinaannya yang sepatutnya siap dalam 3 tahun kini tertangguh.
Ramai berpendapat, kelemahan dalam pengurusan sumber kewangan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu antara punca masalah itu.
“Kita pernah dengar ada hospital kerajaan tidak mampu membeli ubat-ubatan kerana tidak mempunyai dana yang cukup, justeru kita tidak terperanjat sekiranya hospital tidak mempunyai wang untuk membayar sewa.
“Saya diberitahu dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) pada 2013, sewa untuk 4 lot rumah kedai bagi penempatan sementara hospital tersebut ialah RM23,000 sebulan.”
Katanya, lebih baik jika pegawai kesihatan di situ dapat memberi jaminan kepada masyarakat hospital itu tidak mempunyai bayaran sewa tertunggak dan pembayaran sewa sentiasa dilunasi.
“Selama ini, penduduk dinafikan kemudahan kesihatan baik kerana mereka tiada pilihan lain disebabkan hospital lain yang paling dekat ialah di Miri dan Kota Kinabalu yang sangat jauh.
“Oleh itu, tindakan kerajaan terdahulu sangat tidak bertanggungjawab kerana membiarkan masalah penduduk itu berlarutan terlalu lama.”
Justeru, kerajaan baharu memikul tugas besar untuk menyelesaikan segala masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
Baru berkata, beliau akan berusaha membawa perkara itu ke pengetahuan menteri kesihatan selepas mendapat butiran dan penjelasan lanjut mengenai masalah itu.