Kerajaan Terengganu belum bincang nasib kakitangan kontrak, sementara

Kerajaan Terengganu belum bincang nasib kakitangan kontrak, sementara

Exco negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri hanya menghentikan perjawatan ad hoc kerana perlu menanggung kos kewangan tinggi jika dilanjutkan.

Free Malaysia Today
Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan PAS Terengganu bertindak selaras dasar kerajaan pusat di mana perjawatan lantikan politik kerajaan sebelum ini perlu dibubarkan. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan PAS Terengganu belum memberi kata putus berhubung masa depan 900 kakitangan Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (Atra) di negeri ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, setakat ini kerajaan negeri hanya menghentikan perjawatan ad hoc berikutan perlu menanggung kos kewangan tinggi jika dilanjutkan.

“Pada dasarnya perjawatan Atra kita tidak hentikan, tapi selaras dengan dasar kerajaan pusat di mana perjawatan lantikan politik kerajaan sebelum ini perlu dibubarkan.

“Itupun atas status perjawatan ad hoc, manakala kakitangan kontrak dan sementara kita tidak ganggu. Kita belum bincang sama ada kontrak mereka disambung atau dihentikan,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2018 Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Bangunan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri tetap membayar gaji kakitangan ad hoc yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka sehingga 30 Jun ini agar dapat membuat persiapan dan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Di samping itu dapat memberi ruang mencari pekerjaan lain, insya Allah jika diberi ruang oleh kerajaan negeri membuat perjawatan baru untuk mereka, mereka boleh memohon,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.