JPJ akan saman pemilik kenderaan gagal tukar beg udara Takata

JPJ akan saman pemilik kenderaan gagal tukar beg udara Takata

Menteri pengangkutan berkata, tindakan mahkamah juga boleh diambil terhadap mereka yang gagal membayar saman RM300 itu.

Free Malaysia Today
Anthony Loke berkata, penukaran beg udara Takata yang bermasalah bagi semua jenama kenderaan adalah percuma dan hanya mengambil masa 1 atau 2 jam.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 358,233 kenderaan merangkumi jenama Toyota, Nissan, Honda, BMW, Mitsubishi, Subaru, Mazda dan Lexus belum menukar beg udara Takata yang bermasalah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menghantar notis kepada setiap pemilik kenderaan terbabit supaya segera ke pusat servis syarikat pengeluar kenderaan masing-masing untuk menukar beg udara tersebut.

Beliau berkata, kompaun RM300 boleh dikenakan kepada pemilik kenderaan yang gagal mematuhi arahan itu, selepas notis amaran ke-2 diberikan, selain mengambil tindakan mahkamah jika mereka gagal melunaskan kompaun tersebut.

“Kita bukan hendak memangsakan mana-mana pihak atau untuk menghukum, kita hanya mahu memastikan mereka menukar beg udara kenderaan demi keselamatan sendiri kerana ia mampu menyebabkan kematian.

“Penukaran beg udara ini adalah percuma bagi semua jenama terlibat. Proses menukar beg udara juga hanya mengambil masa sekurang-kurangnya 1 atau 2 jam,” katanya selepas menemui wakil syarikat pengeluar kenderaan terbabit di sini, hari ini.

Loke berkata, bahagian teknologi maklumat (IT) JPJ akan menemui semua wakil syarikat pengeluar kenderaan itu esok, selain mendapatkan kerjasama syarikat insurans bagi mendapatkan alamat terkini pemilik kenderaan berkenaan.

JPJ juga akan menghantar notis pertama seawal minggu depan dan memberi tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan ke pusat servis kenderaan atau menghubungi syarikat pengeluar mengenai urusan penukaran beg udara itu.

“Selepas tempoh itu, kita akan mendapatkan data daripada syarikat pengeluar mengenai mereka yang masih tidak memberi maklum balas.

“Jika selepas notis ke-2 dihantar masih tiada maklum balas (selepas 14 hari), kita boleh mengeluarkan saman kerana tidak mematuhi arahan JPJ.”

Selain itu, pemilik kenderaan tidak boleh memperbaharui cukai jalan jika terus ingkar arahan JPJ.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan sudah mengarahkan semua syarikat pengeluar kenderaan itu melaksanakan kempen bersepadu bagi memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan terlibat.

Dalam pada itu, Loke berkata, kementerian menetapkan tempoh setahun kepada semua syarikat pengeluar kenderaan terlibat untuk menukar beg udara itu, kecuali syarikat Honda yang diberi masa sehingga akhir tahun ini, memandangkan kemalangan nyawa melibatkan model Honda City paling kerap berlaku.

“Berdasarkan data yang diperoleh, setakat ini sebanyak 262,296 atau 78.9% daripada keseluruhan 332,458 kereta keluaran Honda sudah menukar beg udara Takata yang merupakan peratusan tertinggi berbanding jenama lain,” katanya.

Jenama Nissan pula mencatatkan pematuhan 40.49% daripada keseluruhan 177,803 kenderaan terlibat, Toyota (38.11% daripada 177,803), Mitsubishi (44.72% daripada 36,155), Mazda (15.64% daripada 10,982), BMW (3.98% daripada 8,320), Subaru (6.23% daripada 305) dan Lexus (59.41% daripada 303).

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.