‘Sah’ untuk Malaysia bangunkan Batuan Tengah, kata Singapura

‘Sah’ untuk Malaysia bangunkan Batuan Tengah, kata Singapura

Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen berkata selagi ia mematuhi undang-undang antarabangsa, kedua-dua pihak berhak ke atas apa yang mereka bangunkan atau ambil apa yang diperlukan untuk keperluan sendiri.

Free Malaysia Today
Dr Ng berkata, seperti juga Singapura mahu membangunkan pelbagai aspek dari segi kedudukan pulau bagi kepentingan domestik atau orang awam atau keselamatan. (Gambar Reuters)
SINGAPURA:
“Ia memang sah sama sekali mengikut undang-undang,” kata Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen mengenai rancangan Malaysia untuk membangunkan selanjutnya Batuan Tengah, yang Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) putuskan sebagai milik Malaysia.

“Selagi ia mematuhi undang-undang antarabangsa, kedua-dua pihak atau semua negara berhak ke atas apa yang mereka bangunkan, untuk mengambil apa yang diperlukan untuk keperluan mereka sendiri,” beliau dipetik oleh The Straits Times hari ini pada akhir Dialog Shangri-La (SLD) ke-17 di sini.

“Dan saya fikir ia adalah sah. Dan bagi mereka, mereka merasakan bahawa mereka perlu membangunkannya. Saya fikir ia adalah baik mereka menyatakannya secara terbuka, jadi kita semua memahami kedudukan masing-masing.

“Seperti juga Singapura mahu membangunkan pelbagai aspek seperti yang kami lakukan, dari segi kedudukan pulau, bagi kepentingan domestik atau orang awam atau keselamatan.”

Menurut laporan berita, Dr Ng juga mengimbas semula pertemuan pertamanya dengan rakan sejawatannya yang baru dari Malaysia Mohamad Sabu, sambil menyatakan bahawa perbincangan antara kedua-dua mereka juga menyentuh mengenai briyani ikan terbaik di Singapura.

“Itu mencerminkan hubungan mesra antara rakyat Singapura dan Malaysia pada umumnya,” kata beliau.

Dr Ng berkata beliau yakin bahawa Malaysia memahami betapa pentingnya Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) untuk keselamatan Malaysia dan Singapura.

Malaysia, yang kini diterajui oleh kerajaan baru, mahu mengekalkannya jika tidakpun mempertingkatkan hubungan pertahanan.

Laporan itu berkata beliau menjemput Mohamad melawat unit Angkatan Tentera Singapura di sini, dan beliau juga diundang melawat Malaysia.

“Jadi ini adalah permulaan sangat baik, amat mesra, dan saya fikir kita dapat bergerak sehaluan,” kata Dr Ng.

Mohamad menghadiri Dialog Shangri-La selama 3 hari yang bermula pada 1 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.