PH Terengganu saran Dr M pilih Raja Bahrin sertai Kabinet

PH Terengganu saran Dr M pilih Raja Bahrin sertai Kabinet

Ketua Pemuda PH Terengganu berkata, wakil negeri itu tidak patut dipinggirkan daripada Kabinet untuk membawa suara rakyat Terengganu ke peringkat kerajaan persekutuan.

Free Malaysia Today
Pemuda PH Terengganu berkata, Raja Bahrin yang juga bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu konsisten menyuarakan isu dan masalah melibatkan kepentingan rakyat negeri itu selama ini.
KUALA LUMPUR:
Selepas Kelantan, giliran Pakatan Harapan (PH) Terengganu meminta Tun Dr Mahathir Mohamad memilih wakil dari negeri itu menganggotai Kabinet pimpinannya.

Ketua Pemuda PH negeri, Hasbie Muda mencadangkan Pengerusi PH Terengganu yang juga bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dipilih menyertai Kabinet yang masih dalam proses pembentukan itu.

Katanya, wakil dari negeri itu tidak patut dipinggirkan daripada pembentukan Kabinet untuk membawa suara rakyat Terengganu ke peringkat kerajaan persekutuan.

“Pemuda PH telah bermesyuarat pada 29 Mei lalu dan kami sebulat suara mencadangkan pengerusi PH Terengganu sebagai wakil negeri untuk berada dalam Kabinet.

“Selain status sebagai orang nombor satu PH Terengganu, beliau juga merupakan tokoh yang konsisten menyuarakan isu-isu dan permasalahan melibatkan kepentingan rakyat negeri ini,” katanya kepada FMT.

Walaupun tewas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk kepada calon PAS pada 9 Mei lalu, Raja Bahrin masih boleh dilantik sebagai senator dan seterusnya menyertai Kabinet pimpinan Dr Mahathir.

PH bertanding 8 kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 di Kelantan, tetapi semua calonnya kalah di 2 negeri pantai timur itu.

PAS berjaya menawan 2 negeri itu dengan memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu dan 37 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan, manakala Barisan Nasional memenangi baki 10 dan 8 kerusi negeri masing-masing di Terengganu dan Kelantan.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan PH Terengganu yang enggan dikenali berharap Dr Mahathir akan memilih seorang wakil dari negeri itu menyertai Kabinet pimpinannya untuk memudahkan suara akar umbi di Terengganu didengari kerajaan persekutuan.

“Secara peribadi saya setuju Terengganu kena ada wakil, cara mana serah kepada Pusat. Kita memang perlu suara di peringkat pusat mewakili rakyat Terengganu.

“Kita di Terengganu ini dikepung pemimpin PAS, kerajaan negeri PAS, presiden PAS ada di sini, ketua Pemuda pemuda PAS ada di Terengganu, ia menyukarkan pergerakan kita, jika kita tidak ada wakil di peringkat pusat.”

Difahamkan, cadangan melantik Raja Bahrin sebagai wakil Terengganu dalam Kabinet turut mendapat sokongan NGO tempatan, termasuk Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu.

Pada 19 Mei lalu, PKR Kelantan dilaporkan meminta 2 kuota senator menteri penuh atau seorang menteri dan timbalan menteri dari negeri itu, walaupun mereka tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa dilaporkan berkata, rakyat negeri itu tidak mahu ketinggalan dalam arus perubahan kepemimpinan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.