
Lawyers for Liberty (LFL) berkata, tidak perlu penangguhan dalam menamatkan perkhidmatan Apandi yang dipaksa bercuti, selepas beliau enggan meletak jawatan.
Kumpulan peguam hak asasi itu berkata, Apandi boleh dipecat “sebaik sahaja perdana menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berbuat demikian”.
“Tiada keperluan menubuhkan sebuah tribunal untuk memecat peguam negara atau satu siasatan untuk menamatkan perkhidmatannya,” kata peguam, N Surendran bagi pihak LFL.
“Apandi tidak boleh mengambil tindakan undang-undang apabila perkhidmatannya ditamatkan, beliau perlu berundur. Perkara terbaik beliau boleh lakukan sekarang ialah berundur secara terhormat, sebelum disingkirkan dengan cara memalukan.”
Desakan itu timbul susulan pendedahan blogger kontroversi, Syed Akbar Ali baru-baru ini mengenai bantahan dalam PH terhadap calon peguam negara bukan Islam sebagai pengganti Apandi.
Syed Akbar yang diketahui rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perdana menteri memilih seorang calon India beragama Kristian untuk jawatan itu, tetapi mendapat bantahan daripada “pihak lain” yang menurutnya turut membantah pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.
“Jika khabar angin yang saya dengar ini betul, maka dalam beberapa hari ‘kebuntuan’ ini mungkin diketahui umum. Krisis akan berlaku,” tulisnya.
LFL berkata, tiada perlu ada persoalan mengenai persetujuan istana untuk menyingkirkan Apandi.
Katanya, Agong boleh menggunakan budi bicaranya yang terhad dalam hal seperti pelantikan perdana menteri dan pembubaran Parlimen, beliau perlu mengikut nasihat kerajaan dalam pelantikan jawatan lain, termasuk peguam negara.
“Dari segi Perlembagaan dan undang-undang, ia bergantung sepenuhnya kepada perdana menteri dalam pentadbiran baru yang dipilih rakyat untuk memilih calon sesuai menjadi peguam negara,” kata Surendran.
Peguam dan aktivis terkenal, Art Harun berkata, Agong mempunyai budi bicara mutlak dalam 3 perkara.
Selain pelantikan perdana menteri dan menteri besar, pembubaran Parlimen dan mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja, katanya, semua keputusan lain yang dibuat Agong mesti berdasarkan nasihat kerajaan.
“Ini bermakna dalam melaksanakan semua kuasa lain dan fungsi, mereka langsung tiada pilihan atau budi bicara kecuali mengikut nasihat perdana menteri atau menteri besar, berdasarkan sesuatu perkara itu.”
Sementara itu, Surendran memberi amaran ketiadaan peguam negara secara berterusan akan mengganggu pembaharuan kritikal yang dinantikan rakyat, serta membawa mereka yang bertanggungjawab di sebalik skandal 1MDB ke muka pengadilan.
“Dalam keadaan sekarang, Malaysia tiada peguam negara yang menjalankan tugasnya. Situasi ini tidak boleh berterusan,” katanya.