Penduduk Bandar Tun Razak protes, desak DBKL batal projek pangsapuri

Penduduk Bandar Tun Razak protes, desak DBKL batal projek pangsapuri

Ketua PPBM Bahagian Bandar Tun Razak, Shahni Ismail mendakwa datuk bandar Kuala Lumpur gagal mematuhi arahan kerajaan PH dan ada tangan ghaib membenarkan projek itu diteruskan.

Free Malaysia Today
Sekumpulan penduduk Bandar Tun Razak memegang kain rentang dan poster mengadakan protes di tapak projek pangsapuri itu di Bandar Tun Razak, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Lebih 100 penduduk di Bandar Tun Razak mengadakan protes mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghentikan pembinaan pangsapuri lebih 40 tingkat di sebuah padang bola di Jalan Jujur, ibu negara.

Ketua PPBM Bahagian Bandar Tun Razak, Shahni Ismail yang mewakili penduduk setempat menuntut 17 projek mega diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan diselia DBKL, termasuk pembinaan pangsapuri itu dihentikan kerana boleh memudaratkan pembangunan sosial masyarakat di sana.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pada Julai 2017 berjanji akan menghentikan projek itu jika PH memenangi pilihan raya umum ke-14 dan beliau dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar sudah mengarahkan projek itu dihentikan serta-merta.

Bagaimanapun, beliau mendakwa DBKL melalui Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz gagal mematuhi arahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ada tangan ghaib membenarkan projek itu diteruskan.

“Datuk bandar Kuala Lumpur mesti arahkan projek ini dihentikan dengan segera kerana untuk pengetahuan, wakil rakyat di sini telah maklum kepada kami pada 16 Mei lepas projek di seluruh kawasan ini dihentikan serta-merta, tapi hari ini kita lihat masih berjalan.

“Kami ingatkan kepada datuk bandar KL, pihak pentadbiran DBKL mesti menyokong aspirasi kerajaan PH hari ini untuk hentikan projek dan tidak boleh lagi ikut telunjuk kerajaan lama BN. Kalau datuk bandar gagal laksana tanggungjawab ini, beliau perlu letak jawatan,” katanya selepas menyertai bantahan di tapak projek itu hari ini.

Shahni memberi masa seminggu kepada pihak berkuasa berbuat demikian atau lebih ramai penduduk akan memprotes.

“Jika projek ini diteruskan juga, rakyat akan melihat kerajaan PH dengan kerajaan BN sama sahaja, tidak mendengar suara rakyat.

“Kami tengok projek-projek masih berjalan,” katanya yang mendakwa lebih 400 penduduk Bandar Tun Razak membantah projek itu.

FMT cuba menghubungi Amin Nordin untuk mendapatkan komennya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.