
N Surendran dan Latheefa Koya berkata, satu kes di Mahkamah Persekutuan Isnin depan akan menjadi “ujian besar pertama” buat kerajaan baru dalam menunjukkan dasarnya mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan.
“Walaupun bukan salah mereka, kanak-kanak ini dan keluarga mereka dianiayai serta menderita untuk tempoh lama akibat dasar tidak adil kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
“Bantahan berterusan Jabatan Peguam Negara di mahkamah menambah penderitaan itu dan ketidaktentuan yang dihadapi kanak-kanak ini dan ibu bapa mereka,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Mereka berkata, kedua-dua kanak-kanak itu tinggal di Malaysia sepanjang hayat mereka. Salah satu kes itu melibatkan anak kepada Lim Jen Shian, seorang rakyat Malaysia, dan kes ke-2 merupakan anak angkat sepasang ibu bapa warga Malaysia.
Katanya, Jabatan Peguam Negara “secara berterusan membantah pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak itu” walaupun terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang mengiktiraf kewarganegaraan mereka.
Kes mereka akan didengar di Mahkamah Persekutuan selepas pertikaian selama 5 tahun.
“Ini harapan terakhir 2 kanak-kanak ini. Bagaimanapun, kami terperanjat dan kecewa Jabatan Peguam Negara masih mengekalkan bantahan mereka terhadap pemberian kerakyatan kepada 2 kanak-kanak ini,” kata mereka.
Mahkamah Persekutuan akan tentukan nasib kanak-kanak tanpa kerakyatan
Kanak-kanak tanpa kerakyatan lebih ramai dari penduduk Perlis