Cabaran untuk Islam tradisional dalam ‘Malaysia baru’

Cabaran untuk Islam tradisional dalam ‘Malaysia baru’

Pengarang kontroversial itu mempersoalkan sama ada Islamis tradisional berupaya menyesuaikan diri dengan Malaysia yang lebih terbuka dan demokratik.

Free Malaysia Today
Faisal Tehrani berkata, minoriti agama mengundi PH dengan harapan gabungan itu akan melindungi hak mereka.
PETALING JAYA:
Pengarang kontroversial Faisal Tehrani menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkaji sama ada golongan Islam tradisional mempunyai tempat dalam Malaysia baru.

Bercakap dalam forum di Universiti Malaya, Faisal berkata, banyak perkara yang diketengahkan kelompok Islam tradisional nampaknya tidak selari dengan idea negara lebih terbuka dan demokratik.

“Mereka tidak percaya kepada kesaksamaan dalam politik, mereka percaya ulama lebih mengetahui, mereka percaya lelaki lebih layak memimpin dan lebih baik untuk umat Islam menjadi menteri.”

Beliau mengingatkan PH, minoriti agama mengundi gabungan itu dengan harapan hak mereka akan dilindungi pada saat kerajaan Barisan Nasional kelihatan cenderung kepada idea Islam lebih tegar.

Faisal percaya cara Malaysia melayan minoriti agama pada masa depan akan ditentukan keputusan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi melihat hala tuju masa depan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Islam tradisional percaya undang-undang dan fatwa berdasarkan sumber agama adalah suci dan tidak boleh dipertikaikan.”

Bagaimanapun, katanya, rukun agama tidak harus dijadikan undang-undang, dan jika ia dijadikan undang-undang, maka keputusan itu mestilah dibuat berdasarkan persetujuan orang ramai.

Beberapa tahun kebelakangan ini, penggubal dasar negara terbabit dalam kontroversi undang-undang syariah dan sivil, terutama dalam hal ehwal keluarga melibatkan pasangan bukan Islam.

Pemimpin agama turut menuntut Mahkamah Syariah diletakkan setaraf dengan mahkamah sivil, sementara pemimpin PAS memperjuangkan pemerkasaan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah, termasuk pelaksanaan hukuman hudud bagi kesalahan jenayah.

Faisal Tehrani ialah nama pena Faizal Musa, felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tujuh buku karyanya diharamkan kerajaan kerana dianggap “ancaman kepada keselamatan negara” dengan 4 novelnya diharamkan kerana mengandungi unsur Syiah, mazhab yang dianggap “sesat”.

Januari lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan pengharaman tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.