
Bagi seorang pengamal yoga, ruang yoga amat penting. Kepentingan ruang yoga memberi peluang untuk mengamalkan yoga di zon selesa yang tersendiri.
Ruang yoga membantu pengamalnya memupuk kesedaran semasa berlatih bermula dari hari pertama hinggalah hari-hari mendatang untuk menilai sendiri bagaimana tubuh bertindak balas kepada setiap amalan. Bukan itu sahaja, adanya ruang yoga juga membolehkan minda dan fikiran bersatu dengan persekitaran yang diwujudkan.
Walaupun kedengaran agak kompleks, jangan risau kerana ia tidaklah sebegitu sukar, mahupun memerlukan anda mencari satu ruang yang khusus. Sebenarnya, ruang yoga ini boleh menjadi tempat yang privasi, menenangkan dan bersifat merawat diri sendiri.
Di bawah beberapa tips memilih ruang yoga anda:
Pilih tempat yang strategik
Pastikan ruang yang dipilih sesuai dengan tujuan beryoga. Pencahayan dalam ruang yoga agak penting, lebih-lebih lagi cahaya matahari di pagi hari yang menyumbangkan Vitamin D kepada kulit. Pilih ruang yang mempunyai tahap privasi supaya rutin yoga tidak diganggu dengan kehadiran orang lain. Apabila anda dapat mencari tempat yang khusus berunsur peribadi, ia memudahkan pengamal mencapai ketenangan yang optimum. Jika tidak mempunyai bilik berasingan, pilih sudut yang damai di rumah dan jika perlu, letakkan pembahagi buluh, bagi memisahkannya dari seluruh bilik.

Ruang yang mudah dan kemas
Kekemasan ruang penting bagi memberikan anda motivasi membuat yoga. Walaupun ia tidak semestinya kompleks dan rumit, cukuplah sekadar ruang yang memberi keamanan dan kemudahan yang mencukupi.

Ditambah dengan sentuhan alam semulajadi
Tambah elemen alam semula jadi supaya ruang anda disemai dengan keseimbangan dan keharmonian. Letakkan tanaman kegemaran, pasu bunga, balang kerang, sumber air atau apa sahaja yang berunsur semula jadi.
Tenangkan jiwa dengan muzik
Muzik bukanlah penting, tetapi tinggal di bandar yang bising, muzik yang menenangkan akan membantu membawa ketenteraman dan kedamaian.
Aroma yang menyenangkan
Ia membantu anda fokus dan mengisi ruang anda dengan tenaga positif yang menenangkan. Anda boleh menggunakan minyak aroma atau lilin aroma di dalam bilik ruang yoga.

Peribadikan ruang yoga
Untuk menjadikan ruang yoga lebih bersifat peribadi dan tenang, anda boleh menambah apa sahaja aksesori yang sesuai. Misalnya loceng dan chime, batu kristal, manik-manik atau karya seni yang memberikan kedamaian dan ketenangan. Anda juga boleh mengecat bilik dalam warna kegemaran.
Di atas hanya beberapa cadangan untuk membentuk ruang yoga, tetapi ia tidak bermakna anda tidak boleh melakukan yoga tanpa semua itu. Terdapat banyak cara dan kaedah untuk mewujudkan suasana ruang yoga mengikut kapasiti anda sendiri.
Artikel ini ditulis oleh Menaha Devi Perumal untuk Sakthi School Of Yoga (SSOY) yang berpusat di Kajang, Selangor.
Facebook: Sakthi School of Yoga
Laman web: Sakthi School of Yoga
PENAFIAN: Maklumat artikel ini tidak sama sekali menggantikan nasihat pakar perubatan. Anda digalakkan mengesahkan setiap maklumat yang dikongsi dengan sumber lain. Bagi nasihat berkaitan kesihatan, anda masih diperlukan mendapatkan nasihat doktor.
Amaran: Jangan sesekali tidak menghiraukan atau membelakangkan nasihat doktor profesional atau pakar hanya kerana maklumat yang dibaca di sini. FMT tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kerosakan disebabkan maklumat artikel ini.