Mukhriz: Isu lantik speaker DUN Kedah selesai bulan ini

Mukhriz: Isu lantik speaker DUN Kedah selesai bulan ini

Menteri besar Kedah itu berkata, pilihan raya negeri tidak akan diadakan dan PH sedang mengadakan perbincangan dengan pembangkang berhubung isu pelantikan speaker DUN.

Free Malaysia Today
Mukhriz Mahathir (kanan, berdiri) berkata, Kedah tidak akan mengadakan PRN kerana ia menelan perbelanjaan kira-kira RM18 juta.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjangkakan pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dapat diselesaikan dalam bulan ini.

Menteri besar Kedah berkata, Pakatan Harapan (PH) sedang mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang.

“Kami merancang untuk DUN bersidang kali pertama pada 1 Julai ini dan selesaikan perkara ini secara baik dan saya tidak bimbang dengan perkara itu.

“Masih dalam peringkat memujuk, tapi nampaknya pujukan kami itu diterima baik sesetengah pihak,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Pada 22 Mei lalu, Mukhriz dilaporkan berkata, timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan speaker DUN Kedah memandangkan PH berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 18 daripada 36 kerusi kerusi DUN, manakala PAS pula mempunyai 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 3 kerusi.

Katanya, Kedah juga mungkin perlu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) jika parti pemerintah dan pembangkang, iaitu PAS dan BN gagal mencapai persetujuan berhubung pemilihan speaker DUN.

Hari ini, Mukhriz berkata, PRN tidak akan diadakan di Kedah kerana ia membazirkan wang dan masa semua pihak.

“Tidak ada perancangan untuk mengadakan PRN sebab ia sangat mahal.

“Saya diberitahu jika PRN diadakan akan menelan lebih kurang RM18 juta dan memakan masa serta membuang tenaga.” katanya yang meminta PAS tidak mendesak PRN diadakan kerana ia hanya akan membawa kesan kepada parti Islam itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.