Badan pemikir: Kabinet sepatutnya putuskan pembatalan HSR

Badan pemikir: Kabinet sepatutnya putuskan pembatalan HSR

Menurut Centre for A Better Tomorrow, keputusan pembatalan sedemikian sepatutnya mengikut proses sewajarnya.

Free Malaysia Today
Menurut Cenbet, jika keputusan membabitkan projek mega RM110 bilion itu dibuat tanpa proses sewajarnya, ia boleh dijadikan contoh buruk dalam membuat keputusan projek kerajaan lain.
KUALA LUMPUR:
Keputusan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sepatutnya dibuat secara teratur oleh Kabinet sebelum pengumumannya kerana turut memaparkan elemen tadbir urus, menurut Centre For A Better Tomorrow (Cenbet).

Menurut kumpulan pemikir itu, walaupun ia menyokong usaha kerajaan baru mengkaji semula pelaksanaan projek yang disifatkan membazir dan membabitkan urus niaga tidak telus, namun keputusan pembatalan sedemikian sepatutnya mengikut proses sewajarnya.

“Jika keputusan membabitkan projek mega RM110 bilion itu dibuat tanpa proses sewajarnya, kami bimbang ini boleh dijadikan contoh buruk dalam membuat keputusan projek kerajaan lainnya.

“Keputusan sedemikian penting dari sudut integriti institusi dan sepatutnya tidak boleh dikompromi bagi tujuan politik,” kata Presiden Bersama Cenbet, Gan Ping Sieu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan media, keputusan Tun Dr Mahathir mengumumkan projek itu pada 28 Mei lepas, dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden parti dan bukan atas kapasitinya sebagai perdana menteri yang mengumumkan keputusan Kabinet.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dipetik berkata, perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum pengumuman 28 Mei.

“Pembatalan projek besar sedemikian yang membabitkan kepentingan merentasi negara, sepatutnya melalui proses membuat keputusan lebih tersusun. Ini termasuk menyediakan kertas Kabinet dan mendapatkan maklum balas daripada semua agensi dan kerajaan negeri berkaitan,” katanya.

Gan berkata, Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan Kabinet ialah badan Eksekutif tertinggi namun pengumuman itu sebaliknya bertentangan dengan semangat kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diikrar oleh kerajaan baru itu.

“Keputusan Kabinet seterusnya pada 30 Mei itu boleh dianggap tanpa rundingan atau perbincangan secukupnya,” katanya.

Beliau berkata, proses membuat keputusan secara institusi itu merupakan elemen penting tadbir urus baik yang sememangnya digalakkan Cenbet.

“Semua keputusan penting negara perlu dibuat oleh Kabinet selepas melalui proses dan rundingan sewajarnya bagi mengelak penyalahgunaan kuasa serta berlakunya ketirisan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.