
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Mahkamah Rayuan mesti dibenarkan melakukan perbicaraan yang adil terhadap Rozita Mohd Ali tanpa tekanan.
“Bagaimana jika Mahkamah Rayuan, dengan semua fakta yang tidak diketahui orang awam, memutuskan Mahkamah Sesyen betul dalam mengenakan hukuman tanpa tahanan?”, soalnya.
Haniff menjawab kenyataan kumpulan masyarakat sivil Tenaganita yang kebimbangan selepas Mahkamah Rayuan menangguhkan hukuman penjara 8 tahun terhadap Rozita, semalam.
Pengarah Eksekutif, Glorene A Das berkata, implikasi “hukuman ringan” pada masyarakat harus dipertimbangkan.
“Ia sangat jelas kita memupuk budaya ‘kamu melakukan jenayah, kemudian merayu dengan kekesalan – dan bebas tanpa hukuman’,” katanya.
Haniff berkata kenyataan itu tidak boleh diterima kerana rayuan akhir Rozita belum didengar dan ditolak.
Pada 15 Mac, Rozita, 44, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan teruk kepada pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso menggunakan senjata berbahaya.
Hakim Mahkamah Sesyen Mohammed Mokhzani Mokhtar sebelum ini membebaskan Rozita dengan bon kelakuan baik selama 5 tahun sebanyak RM20,000.
Dua minggu kemudian, Mahkamah Tinggi menggantikan ikat jamin itu kepada hukuman penjara 8 tahun.
Pesuruhjaya Kehakiman Tun Majid Tun Hamzah juga menolak permohonan Rozita untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan. Dia berada di penjara Kajang sejak 2 bulan lepas.
Semalam, panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan permohonan penangguhannya yang baru sementara menunggu pendengaran rayuan.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkannya membayar ikat jamin RM25,000 dengan 2 penjamin, menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis Damansara Utama setiap 2 minggu sekali.
Haniff berkata anak guamnya mempunyai alasan yang baik untuk mempertahankan keputusan Mahkamah Sesyen dan dia mengalami masalah kesihatan.
Beliau berkata perintah terikat itu tidak sama seperti membiarkan orang yang bersalah bebas begitu sahaja.
“Ini kerana Mahkamah Sesyen juga menyatakan dengan jelas jika dalam 5 tahun ini, perayu (Rozita) melakukan sebarang jenayah lain, dia secara automatik menjalani hukuman penjara 10 tahun.
“Bukankah hukuman ini menegakkan keadilan dengan lebih baik jika mahkamah mendapati terdapat keadaan yang meringankan untuk membenarkan dia dengan kebebasan ‘palsu’ ini dengan bon kelakuan baik?” katanya.
Haniff berkata orang ramai, terutama Tenaganita, perlu menilai bukti perbicaraan di mana mangsa sepenuhnya dan sejelasnya berharap Rozita tidak menjalani hukuman penjara kerana fakta yang hanya diketahui mereka berdua.
Beliau berkata, Suyanti, dengan bantuan pegawai kedutaan Indonesia membuat laporan polis lain yang diberikan sebagai bukti di mahkamah.
Haniff berkata mangsa juga memberikan keterangan sekali lagi kepada polis, dan memberitahu polis dia mahu menarik balik laporan awal dan tuduhan terhadap majikannya dengan rela hati.
“Adakah keadilan ditegakkan oleh keinginan masyarakat yang tidak mengetahui butiran lengkap?” katanya.
Beliau berkata 70,000 orang menandatangani petisyen berikutan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengakibatkan Mahkamah Tinggi membuat semakan semula, walaupun pendakwa raya memfailkan rayuan terhadap hukuman itu pada hari berikutnya.
“Orang awam harus membenarkan sistem kehakiman menentukan prosesnya secara sah tanpa meletakkannya di bawah tekanan,” katanya.
Klip video pembantu rumah berkenaan, Suyanti Sutrinso, yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara tular pada Disember 2016.
Dilaporkan Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.