
Nampaknya bulan Ramadan yang sepatutnya dikaitkan dengan sifat kesederhanaan dan pengawalan nafsu sudah jauh menyimpang apabila lebih ramai dikatakan “makan keterlaluan hingga jatuh sakit”.
Demikian dilaporkan berlaku di bilik rawatan kecemasan di beberapa hospital di Arab Saudi setelah ramai pesakit mendaftarkan diri kerana makan berlebihan sepanjang waktu berbuka puasa dan sahur.
Dalam satu laporan Khaleej Times, Dr Ola Nagi Ibrahim dari Hospital Antarabangsa Bareen, berkata kebanyakan pesakit datang dengan masalah kesihatan seperti sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit.
“Ia banyak berlaku sekarang, pada bulan Ramadan ini. Kadangkala kami menerima seluruh keluarga sekaligus,” kata beliau.
Doktor itu mendedahkan, wad kecemasan menerima kira-kira 15 pesakit setiap hari pada bulan Ramadan, iaitu 2 kali ganda jumlah kes yang diterima pada hari biasa.
“Orang ramai makan terlalu banyak pada bulan Ramadan dan memerlukan ubat selepas dimasukkan ke hospital,” jelasnya.
Ibrahim menambah, kebanyakan pesakit yang dimasukkan pada waktu siang hari memerlukan rawatan segera dengan cecair IV kerana mereka mengalami dehidrasi teruk, manakala mereka yang datang selepas berbuka pula dirawat untuk masalah sakit perut.

Penolong Ketua Jabatan Kecemasan di Universal Hospital di Arab Saudi, Shafqut Jalal juga berkata, “Jumlah itu berlipat ganda pada bulan Ramadan.”
Tambah Jalal, beberapa sebab di sebalik peningkatan pesakit ke wad kecemasan dalam tempoh beberapa hari pertama Ramadan termasuklah terlebih makan, makan makanan tidak bersih, terlebih atau tidak cukup masak.
Beliau juga berkata, pesakit kencing manis yang mengahadapi kesulitan kesihatan ketika berpuasa juga dimasukkan ke wad kecemasan di seluruh negara.
Manakala pakar kecemasan di Burjeel Hospital, Dr Magdi Mohamed juga akui fenomena demikian.
“Kami melihat jumlah kes semakin meningkat kerana orang ramai lebih pentingkan kuantiti makanan daripada kualitinya.”
Justeru beliau menasihatkan semua orang yang berpuasa supaya berbuka dengan kurma, air dan makanan yang tidak terlalu berat, seperti sup atau salad serta makan hidangan rendah lemak dan makanan karbohidrat kompleks, protein, vitamin, dan mineral.
Bagaimana dengan anda di Malaysia? Jangan jadikan bulan Ramadan ini masa beristirahat di wad hospital pula!