
Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan berkata penggunaan pesawat tentera A400M dapat menjimatkan kos pengangkutan berbanding menggunakan pesawat komersial dari aspek masa dan kos penerbangan.
Menurutnya, penggunaan pesawat itu juga memberi pendedahan kepada Mat Sabu mengenai keupayaan, prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat A400M.
“Pesawat itu berfungsi sebagai pengangkut pelbagai guna dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan di samping mengekalkan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kenyataan dikeluarkan selepas peguam, Abu Backer Sidek Mohamad Zan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohamad Sabu atau Mat Sabu.
Kementerian itu berkata pada hari penerbangan pesawat pengangkut TUDM A400M membawa delegasi menteri pertahanan dan pegawai kanan ATM ke Butterworth, penerbangan pesawat tersebut juga digunakan bagi memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan (flying hours) juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetensi mereka,” katanya.
Kementerian juga menambah warga TUDM khasnya dan ATM amnya amat terharu dan gembira di atas kesudian menteri pertahanan meluangkan masa menghadiri program-program yang dilaksanakan di peringkat perkhidmatan.
“Jemputan Mat Sabu dalam majlis buka puasa dan perjumpaan bersama warga TUDM dibuat oleh Jeneral Tan Sri Affendi Buang selaku Panglima Tentera Udara.
“Majlis itu merupakan program rasmi tahunan TUDM dan adalah perjumpaan pertama anggota TUDM bersama menteri pertahanan.”
Semalam Backer dilaporkan tidak menentang Mat Sabu menghadiri majlis itu, tetapi menyifatkan penggunaan aset tentera untuk tujuan itu sebagai pembaziran dan tidak perlu kerana mendakwa setiap penerbangan menelan kos “sekurang-kurangnya AS$50,000 (RM199,125)”.
Sabtu lalu, Mat Sabu terbang ke Butterworth dengan pesawat TUDM Airbus A400M daripada 22 skuadron pada 5.15 petang.
Beliau ditemani isterinya, Normah Alwi dan pemimpin atasan pasukan tentera untuk menghadiri majlis berbuka puasa dengan warga TUDM di Pangkalan Udara TUDM Butterworth.
Beliau kemudiannya menghadiri satu lagi majlis berbuka puasa di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor.
Peguam lapor SPRM dakwa Mat Sabu ‘salah guna’ pesawat tentera