Hukuman penjara 8 tahun Datin dera amah ditangguh

Hukuman penjara 8 tahun Datin dera amah ditangguh

Permohonan Rozita Mohd Ali menangguh hukuman itu dibenarkan kerana 'keadaan luar biasa' tetapi Mahkamah Rayuan mengenakan syarat untuk dia keluar dari penjara.

Free Malaysia Today
Rozita Mohd Ali dihukum penjara 8 tahun selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bon kelakuan baik yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen tidak tepat.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan hukuman penjara 8 tahun terhadap Datin Rozita Mohd Ali kerana mendera pembantu rumahnya sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan permohonan Rozita untuk menangguhkan hukumannya kerana keadaan luar biasa.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkannya membayar ikat jamin sebanyak RM25,000 dengan 2 penjamin, menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di balai polis Damansara Utama setiap 2 minggu sekali.

Rozita memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak boleh mengkaji semula kesnya apabila pendakwa raya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada 15 Mac, Rozita, 44, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan teruk kepada pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso menggunakan senjata merbahaya.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohammed Mokhzani Mokhtar sebelum ini membebaskan Rozita dengan bon kelakuan baik selama 5 tahun sebanyak RM20,000.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kemarahan masyarakat dengan mewujudkan petisyen dalam talian terhadap hukuman itu yang memperoleh lebih 70,000 tandatangan.

Semasa semakan, Pesuruhjaya Kehakiman Tun Abd Majid Tun Hamzah pada 29 Mac memutuskan bon kelakuan baik yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak tepat.

Tun Majid berkata mahkamah rendah salah menilai faktor pengurangan hukuman apabila Suyanti menarik balik laporan polisnya semasa perbicaraan.

Rozita berada di penjara Kajang sejak 2 bulan lalu selepas Tun Majid menolak penggantungan hukumannya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Rozita terhadap keputusan Tun Majid untuk mengenakan hukuman penjara dengan cara semakan.

“Kami akan membantah rayuannya terhadap hukuman itu dan perlu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengar,” katanya.

Klip video pembantu rumah berkenaan, Suyanti Sutrinso, yang cedera parah dan terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara tular pada Disember 2016.

Dilaporkan Rozita didakwa menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk mencederakan kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.

Peguam terkejut Datin dera amah tidak dihukum penjara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.