Pemuda PPBM kepada Uthayakumar: Jangan sentuh ‘tiang seri’

Pemuda PPBM kepada Uthayakumar: Jangan sentuh ‘tiang seri’

Exco Pendidikan, Mohd Ashraf Mustaqim berkata masih terlalu awal untuk membuat tuntutan terhadap hak eksekutif itu.

Free Malaysia Today
Ashraf berkata perkara utama harus bermula dari peringkat asas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda PPBM berpesan kepada P Uthayakumar, ketua kumpulan yang menggelar diri mereka “Hindraf 2.0”, agar tidak menganggu agenda Malaysia Baru di “fasa peralihan” sekarang dengan menuntut Universiti Teknologi Mara (UITM) dibuka kepada semua kaum walaupun ia menyentuh hak dan kepentingan Bumiputera.

Exco Pendidikan, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menggesa kerajaan menolak tuntutan Uthayakumar kerana ia tidak relevan dalam kancah semasa walaupun teras utama Malaysia Baru bawah kerajaan Pakatan Harapan adalah integrasi nasional menuju ‘asimilasi’ kaum.

Beliau mengingatkan masih terlalu awal untuk membuat tuntutan terhadap hak eksekutif itu kerana “dalam fasa peralihan ini banyak lagi agenda utama yang lebih menguntungkan rakyat” terbanyak, selain masih relevan dalam agenda memperkasa pendidikan Bumiputera.

“Masih jauh untuk membincangkan UITM di peringkat tertiar untuk dibuka kepada semua kaum kerana jelas melangkau aturan, sedangkan perkara utamanya haruslah bermula terlebih dahulu dari peringkat asas.

“Tak guna menyentuh sesuatu yang mampu membangkitkan kemarahan sedangkan akarnya belum terpasak,” kata Ashraf dalam kenyataan hari ini.

Ashraf menyifatkan UITM ini sebahagian daripada Keistimewaan Melayu dan Bumiputera, bersama kedudukan Bahasa Melayu, Islam dan raja-raja Melayu, yang menjadi ‘tiang seri’ negara ini.

“Jika kita dari pelbagai kaum ini nak menambahbaik rumah, janganlah disentuh tiang seri ini kerana akan runtuhlah semuanya sekiranya diganggu gugat. Tanggungjawab menjaga rumah ini bukanlah tanggungjawab bangsa Melayu dan Bumiputera semata,” katanya.

Semalam, kumpulan yang diketuai P Uthayakumar itu menyerahkan tuntutan 25 perkara kepada sekretariat Jawatankuasa Reformasi Institusi yang diwujudkan bawah Majlis Penasihat Kerajaan untuk membaiki keadaan hidup kelompok bawahan 75% masyarakat India.

Tuntutan antaranya mendesak agar kemasukan UITM dibuka kepada kaum lain.

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang asal, diketuai oleh P Waythamoorthy, hari ini menafikan ada membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan, Majlis Penasihat Kerajaan atau Jawatankuasa Reformasi Institutsi.

Waythamoorthy berkata, “tidak wujud pertubuhan bernama Hindraf 2.0. Ketuanya ialah Presiden Parti Hak Asasi Manusia, P Uthayakumar. Dia tidak terlibat dengan aktiviti Hindraf sejak 2008 kerana mahu menubuhkan parti politik sendiri. Tindak-tanduknya kini menimbulkan kekeliruan, rasa marah dan benci dalam kalangan orang ramai.”

Hindraf lawan Hindraf 2.0, nafi buat tuntutan baru

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.