
Prof Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata kos RM100 bilion untuk projek HSR itu melibatkan pembinaan dari awal antaranya landasan baru serta pengambilan tanah.
“Kita luruskan laluan sedia ada supaya kita tidak perlu bina landasan baru,” katanya.
“Landasan kereta api sekarang ini dipanggil landasan tirus dan kecil. Kereta api laju mempunyai landasan yang besar,” tambahnya.
Barjoyai berkata kesan lain daripada menaiktaraf landasan sedia ada ialah kelajuan kereta api terpaksa dikurangkan.
“Mungkin tidak dapat 300 kilometer sejam tapi dapat 200 kilometer sejam dah hebat dah,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan cara bagi mengurangkan pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura sekiranya projek HSR dibatalkan.
Dr Mahathir dalam laporan sebuah akhbar menyatakan kerajaan rugi dalam jumlah yang besar sekiranya projek HSR dibatalkan.
Barjoyai sementara itu berpendapat permintaan untuk kereta api laju masih belum dapat dibuktikan.
“Kita tak perlu berbelanja sekali gus untuk mendapat kualiti yang terbaik kerana pasaran belum sedia. Jadi projek itu tidak berdaya maju sekarang.
“Nanti kalau sekiranya permintaan terhadap kereta api laju meningkat, kita boleh mengubah semula landasan itu,” katanya.