
Bercakap kepada FMT, wakil rakyat Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata Zainun membuktikan beliau berkelayakan menjadi AG.
“Beliau mempunyai kelayakan sebagai AG yang diyakini kerana keberanian dan integritinya,” kata beliau.
Beliau mencadangkan hal itu berikutan keputusan kerajaan meminta AG sekarang, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bercuti tanpa rekod selepas penyiasatan baru ke atas dana kerajaan 1MDB dimulakan.
Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek kini menyandang tugas beliau.
Zainun, 66, dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2012. Beliau merupakan ahli Lembaga Penasihat Rangkaian Global Integriti Kehakiman, Jabatan Mengenai Dadah dan Jenayah di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau bersara bulan lepas selepas mencapai usia persaraan wajib, tetapi diberikan lanjutan selama 6 bulan.
Zainun merupakan salah seorang hakim mahkamah tertinggi yang memutuskan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1988 bagi menyekat kuasa badan kehakiman adalah berlawanan dengan struktur asasi undang-undang tertinggi negara.
Beliau yang membacakan penghakiman bersejarah itu berkata, pindaan tersebut menggugat prinsip pengasingan kuasa, dan kebebasan kehakiman.
Beliau juga merupakan hakim Mahkamah Persekutuan yang memutuskan sebagai tidak sah tindakan seorang bapa menukar agama 3 anak Indira Gandhi kepada agama Islam tanpa persetujuan ibu mereka.
Dalam keputusan pada 29 Januari lepas, mahkamah menetapkan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa adalah diperlukan bagi menukar agama anak bawah umur, dan menyelesaikan konflik berterusan berkaitan penukaran agama sepihak kanak-kanak bawah umur.
Minggu lepas, Ramkarpal menggesa Apandi meletakkan jawatan berikutan pendedahan baru tentang 1MDB oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Shukri berkata, putera Saudi yang dikatakan mendermakan wang sebanyak RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak dapat membuktikan pemberian itu dengan dokumen menyokong.
Beliau juga mengesahkan dakwaan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) bahawa wang itu sebenarnya berasal daripada dana 1MDB.
Apandi, dalam sidang media pada 26 Januari 2016, memaklumkan wang RM2.6 bilion itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi dan melepaskan Najib daripada sebarang perbuatan salah.
Kontrak 3 tahun Apandi dijadual berakhir pada 27 Julai tahun lepas, tetapi diberi lanjutan 3 tahun lagi oleh kerajaan lepas.