
Perdana menteri bagaimanapun tidak pasti jika penalti itu dalam bentuk ringgit atau dolar Singapura.
“Itu (keputusan menamatkan projek) adalah keputusan akhir. Kita ada perjanjian dengan Singapura, saya diberitahu (pampasan sebanyak) 500 juta, saya perlu jelaskan di sini, ia tidak beri manfaat.
“Tidak ada keuntungan dari projek itu. Ia hanyalah trek yang pendek sahaja. Kita perlu cakap dengan Singapura tentang hasrat kita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir dalam wawancara dengan Financial Times berkata, kerajaan akan membatalkan projek HSR bernilai RM100 bilion kerana tidak memberi pulangan walaupun 1 sen.
Perkhidmatan kereta api yang disasar mula beroperasi pada 31 Disember 2026 itu mampu mengurangkan masa perjalanan antara KL dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan kereta api lebih 300km sejam.
Projek sepanjang 350km itu merangkumi 8 stesen, iaitu Bandar Malaysia di KL, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh di Melaka serta Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor dan stesen Jurong East di Singapura.
Pada 5 April lalu, MyHSR Corp Sdn Bhd mengumumkan Konsortium Malaysian Resources Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MRCB-Gamuda) dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd-TH Properties Sdn Bhd (YTL-THP) memperoleh tender sebagai rakan kongsi penyampaian projek (PDP) bagi kerja awam untuk projek itu dengan nilai kontrak dianggarkan RM30 hingga RM40 bilion.