200 penguat kuasa pantau harga sebelum, selepas GST sifar di Kedah

200 penguat kuasa pantau harga sebelum, selepas GST sifar di Kedah

Mereka memantau perubahan harga barangan di pasar awam dan pasar raya pastikan peniaga patuh dasar GST sifar kelak.

JITRA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menugaskan lebih 200 penguat kuasa untuk memantau harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar yang akan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Timbalan Pengarah Chin Ching Chung berkata mereka memantau perubahan harga barangan mentah dan kering di semua pasar awam dan pasar raya bagi memastikan peniaga mematuhi dasar GST sifar itu apabila dilaksanakan kelak.

“Setiap penguat kuasa ditugaskan memantau 5 premis dan mencatatkan harga 30 jenis barang sewaktu GST dikenakan pada kadar 6% sekarang dan selepas dikenakan pada kadar sifar.

“Ini bermakna mereka perlu melihat perbezaan harga 150 barangan secara keseluruhannya.

“Pemeriksaan ini dijalankan secara berkala dan sudah dimulakan sejak beberapa hari lalu sehingga Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya selepas melakukan tinjauan di pasar awam Jitra hari ini.

Beliau juga berkata bahan makanan utama seperti telur, ayam, daging dan sayur-sayuran dijamin mencukupi menjelang musim perayaan ini malah harganya juga dijangka tidak mengalami kenaikan.

“Kita telah bermesyuarat dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta pemborong dan mereka beri jaminan bekalan keperluan mencukupi,” katanya.

Berhubung dakwaan harga daging di Kedah mencecah RM36 sekilogram, Chin berkata buat masa ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kes itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat melaporkannya kepada KPNDKK.

Ini kerana katanya berdasarkan pemantauan, lebih 90% premis menjual daging pada harga RM33 hingga RM34 sekilogram, iaitu harga standard sejak beberapa tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.