Najib: Kaedah kiraan kita sama kaedah kiraan dunia

Najib: Kaedah kiraan kita sama kaedah kiraan dunia

Bekas perdana menteri berkata hutang kerajaan persekutuan RM686.8 bilion mengikut kaedah kiraan yang diterima sejagat, dan bukan RM1 trilion seperti yang didakwa.

Free Malaysia Today
Najib mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mengakui hutang kerajaan RM686.8 bilion dan bukan RM1 trilion. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hutang rasmi kerajaan persekutuan RM686.8 bilion (50.8% dari keluaran dalam negara kasar) mencerminkan kaedah kiraan yang “diterima sejagat”.

Dalam satu catatan Facebook, Najib sukacita Menteri Kewangan Lim Guan Eng “berterus terang” dalam kenyataan semalam apabila mengatakan hutang kerajaan persekutuan rasmi kekal pada RM686.8 bilion dan bukan RM1 trilion (atau 65% dari KDNK) seperti yang didakwa sebelum ini.

Beliau berkata paras 50.8% itu lebih rendah dari paras 103.4% yang dicecah semasa “pemerintahan pertama” Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional bawah pentadbirannya sentiasa mematuhi garis panduan laporan hutang awam antarabangsa oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. “Oleh itu, angka 50.8& ialah kiraan yang diterima sejagat.”

Tanggungjawab kontingen, seperti jaminan, tidak pernah dimasukkan ke dalam kiraan rasmi hutang kerajaan, termasuk ketika bawah pemerintahan Dr Mahathir dulu.

“Kerajaan memberikan jaminan-jaminan ini kepada entiti-entiti tertentu untuk membantu mengurangkan kos pembiayaan. Lazimnya ia tanggungjawab jangka panjang yang disokong oleh aset yang menjana hasil,” kata Najib.

Bekas menteri kewangan ini berkata perbelanjaan pajakan daripada kerjasama awam-swasta dan inisiatif pembiayaan swasta adalah perbelanjaan operasi dan bukan hutang, dan diperlukan untuk “prasarana sosial yang sangat diperlukan, termasuk sekolah, balai polis, hospital, universiti dan sebagainya”.

Najib menyatakan dia berlaku telus dan “tidak pernah menyembunyikan” angka yang didedahkan Lim, salah seorang ahli kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih kuasa selepas menewaskan BN pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Najib berkata angka untuk perbelanjaan hutang dan pajakan diterbitkan dalam laporan Perbendaharaan, Bank Negara, ketua akauntan negara dan ketua audit negara setiap tahun.

Hakikatnya hutang dan perbelanjaan lain boleh diurus dan boleh ditanggung seperti yang “diakui oleh menteri kewangan sendiri dengan penuh yakin”, katanya.

“Kita tidak sembunyikan hutang RM300 bilion atau memalsukan angka seperti yang didakwa,” katanya. “Kebenaran sentiasa dinyatakan secara terus terang mengikut garis panduan yang diterima sejagat.

“Sekarang kebenaran tersingkap tentang ‘hutang negara RM1 trilion’ ini, dan kami berterima kasih kepada kerajaan baru kerana tidak semena-mena menakutkan pasaran hingga menyebabkan kejatuhan bursa saham minggu ini”, berlatarkan aliran keluar modal asing selama 14 hari berturut-turut.

Najib berkata “kebingungan” ini meyebabkan kerugian sebenar kepada pelabur bursa saham dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah dan Tabung Haji.

Beliau menambah: “Saya berharap dan mendoakan menteri kerajaan PH akan lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan di masa akan datang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.