Mat Sabu perlu kekal hubungan baik walau batal pusat keamanan Saudi

Mat Sabu perlu kekal hubungan baik walau batal pusat keamanan Saudi

Penganalisis bersetuju Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman yang dipromosikan kerajaan Najib bukan perkongsian baik untuk Malaysia dalam memerangi keganasan.

Free Malaysia Today
Mat Sabu berkata, Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman antara perkara yang bakal disemak semula kementeriannya.
KUALA LUMPUR:
Masa depan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang dipromosikan kerajaan sebelum ini belum pasti kerana Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sudah memberi isyarat keseluruhan projek itu antara perkara akan dikaji semula pentadbiran baru.

Tetapi, penganalisis berkata, kerajaan baru juga perlu menyeimbangkan sebarang langkah membatalkan penubuhan KSCIP dengan keperluan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan Arab Saudi.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak bersetuju memperuntukkan sebidang tanah luas di Putrajaya untuk KSCIP, yang diumumkan susulan lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia, pada Mac 2017.

Free Malaysia Today
Najib bersama Raja Salman ketika pertemuan mereka tahun lepas. (Gambar Bernama)

Sejak itu, bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi antara penyokong terbesar pusat berkenaan.

Hishammuddin sebelum ini berkata, pusat itu penting bagi memerangi ideologi militan dan ekstremisme, termasuk kumpulan IS.

Tetapi, pengkritik mempersoalkan perkongsian dengan Arab Saudi untuk memerangi keganasan, dengan menekankan peranan ideologi dan ketenteraan Riyadh di peringkat antarabangsa.

Ia kemudiannya diumumkan KSCIP akan mempunyai sebuah kompleks di atas tanah seluas 16 hektar di Putrajaya, yang akan mengambil 2 tahun disiapkan.

Keputusan itu tidak diterima pembangkang ketika itu, Pakatan Harapan (PH) yang kini mengambil alih kuasa di Putrajaya, dengan parti pimpinan Mohamad sendiri, Amanah antara yang lantang menentang projek itu.

Perbalahan tidak perlu

Pada sidang akhbar pertamanya sebagai menteri pertahanan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata penubuhan pusat itu akan dikaji semula selepas rundingan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang penganalisis kanan menyambut baik langkah itu.

“Saya rasa naluri menteri itu betul – walaupun beliau mempunyai keraguan terhadap KSCIP, beliau meminta lebih banyak maklumat tentang pusat itu dari Kementerian Pertahanan sebelum membuat keputusan muktamad,” kata Shahriman Lockman dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Pada akhirnya, saya berpendapat menteri akan mendapati ia tidak menyumbang kepada kepentingan Malaysia untuk meneruskan KSCIP.”

Beliau turut mempersoalkan penubuhan pusat dengan “begitu banyak wang dan pengaruh Saudi” kerana ia boleh membawa Malaysia kepada “perbalahan yang bukan dimulakan kita atau tidak sepatutnya membabitkan kita”.

“Arab Saudi berada di tengah-tengah permusuhan geopolitik dengan Iran, yang mempunyai kesan memperluaskan perpecahan antara Sunni dan Syiah di seluruh dunia.

“Apa yang berlaku di Yaman dan Syria, sedikit sebanyak, satu simptom permusuhan Arab Saudi dan Iran. Bolehkah KSCIP mengelak daripada menyokong mana-mana pihak, walaupun Dr Mahathir menekankan Malaysia perlu kekal neutral dan tidak berpihak?” soalnya.

Shahriman berkata, mudah untuk membatalkan KSCIP kerana ia masih baru dengan hanya beberapa kakitangan.

Tetapi katanya, antara cabaran dihadapi Mat Sabu adalah mengekalkan hubungan baik Malaysia dengan Riyadh dalam proses itu.

“Suka atau tidak, apa pun yang kita fikir tentang mereka, Arab Saudi ialah pemain utama dalam dunia Islam dan Timur Tengah.

“Pengurusan haji menjadikan ia penting untuk negara majoriti Islam mengekalkan hubungan baik dengan mereka.”

Tidak sesuai

Shahriman berkata, Malaysia dan Arab Saudi mempunyai pandangan dunia dan pendekatan berbeza dalam memerangi ekstremisme keganasan.

“Saya tidak nampak bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama secara berkesan dalam membanteras ekstremisme keganasan dengan perbezaan itu.”

Antara pihak terlibat dalam KSCIP ialah Kementerian Pertahanan dari kedua-dua negara, dan Liga Muslim Dunia (MWL), organisasi yang dibiayai Riyadh sejak beberapa dekad lalu dan mengadakan aktiviti mempromosikan imej Islam Arab Saudi di negara lain.

MWL mempunyai sejarah menggalakkan fahaman Wahabi atau Salafi, seperti yang digelar penyokongnya. Wahabisme adalah fahaman Islam berdasarkan penafsiran teks Islam secara harfiah, yang dikaitkan dengan cabang militannya termasuk Taliban, Al-Qaeda dan terbaru, IS.

Seorang penganalisis keselamatan warga Australia bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk mengkritik KSCIP.

Patrick Blanning berkata, kaedah memerangi ekstremisme keganasan (CVE) dilakukan dalam pelbagai tahap di dunia Barat.

“Jadi, sukar untuk mengkritik KSCIP secara berasingan tanpa mengkritik keseluruhan konsep CVE,” kata Blannin kepada FMT.

“Jika ia melaksanakan apa yang diharapkan, ia perkara baik, tetapi sukar untuk mengkritik perkara ini tanpa metrik jelas bagi mengukur kejayaan atau pulangan pelaburan.

“Jika menteri pertahanan baru mendakwa kementeriannya akan kaji semula KSCIP, ia mungkin mendedahkan cara penilaiannya, iaitu metrik yang diperlukan untuk membuat keputusan mengenai pusat itu dan konsep CVE lebih luas.”

Kerajaan akan kaji ‘pusat keamanan’ Saudi di Putrajaya, kata Mat Sabu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.