Jamal didakwa pecah botol arak depan bangunan SUK

Jamal didakwa pecah botol arak depan bangunan SUK

Ketua Umno Sungai Besar itu dituduh melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi.

Free Malaysia Today
Prosiding kes itu berlangsung di Hospital Pakar Ampang Puteri, kerana Jamal Yunos sedang dirawat bagi masalah sakit belakang. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor tahun lepas.

Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri, kerana Jamal, 48, sedang dirawat di wad Premier hospital itu bagi masalah sakit belakang.

Jamal mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Dia didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam di hadapan pintu pagar keluar pos (1) bangunan SUK di Shah Alam pada 10.15 pagi, 5 Oktober 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.

Pengamal media tidak dibenarkan masuk ke dalam wad untuk mengikuti prosiding kes itu yang berlangsung kira-kira setengah jam bermula 10.45 pagi.

Ketika ditanya pemberita, Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi memberitahu mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

Beliau berkata pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM4,000 bagaimanapun peguam Mohd Nasir Yusof yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM2,000.

Pada 5 Oktober tahun lepas, Jamal bertindak memecahkan botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.

Jamal lebih teruk dari orang mabuk, kata pegawai MB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.