Bapa rayu siasatan baru kes bunuh Altantuya

Bapa rayu siasatan baru kes bunuh Altantuya

Shaariibuu Setev dalam satu surat berkata, beliau ingin tahu identiti 'orang berkuasa' yang mengarahkan jenayah itu.

Free Malaysia Today
Shaariibuu Setev berkata, “seorang individu berkuasa” yang memberi kebenaran untuk melakukan jenayah itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bapa Altantuya Shaariibuu yang dibunuh dan mayatnya diletupkan di Shah Alam 12 tahun lalu, merayu kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuka semula siasatan bagi mengetahui identiti individu yang mengarahkan pembunuhan anaknya.

Shaariibuu Setev dalam suratnya kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata “seorang individu berkuasa” yang memberi kebenaran untuk melakukan jenayah itu

Beliau berkata, “dunia menunggu mahkamah adil Malaysia menyelesaikan kes ini”.

“Jika keadilan, kebenaran, harapan, kepercayaan dan cara manusia hilang dari dunia ini, ia sama seperti bumi tanpa matahari,” tulisnya.

Dalam satu kenyataan mengiringi surat Setev, Ramkarpal berkata, beliau tidak dapat menerima kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang Bukit Aman tidak membuka semula kes pembunuhan itu kerana tiada laporan baru dibuat.

Ramkarpal berkata, tidak perlu laporan polis baru kerana kemungkinan besar individu atau mereka yang mengarahkan pembunuhan Altantuya sudah diketahui polis daripada siasatan terdahulu.

Beliau berkata, aspek ini terlalu penting untuk terlepas dalam siasatan.

“Ia menentang logik untuk penyiasat hanya tanya siapa membunuhnya, tanpa bertanya mengapa dalam siasatan mereka.”

Katanya, Presiden Mongolia, Battulga Khaltmaa turut merayu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuka semula siasatan dalam mesej tahniahnya kepada pengerusi Pakatan Harapan atas kejayaan gabungan 4 parti itu pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Ramkarpal menggesa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Fuzi segera membuka semula siasatan ke atas pembunuhan Altantuya atau menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menentukan motif di sebalik jenayah itu.

Altantuya yang berusia 28 tahun ketika itu, dibunuh antara 19 hingga 20 Oktober 2006 oleh 2 anggota polis Malaysia.

Beliau ditembak di kepala sebanyak 2 kali, sebelum mayatnya dililit bahan letupan gred tentera dan diletupkan di dalam hutan. Motif jenayah dan dalang pembunuhan itu sehingga kini tidak diketahui.

Pembunuh terbabit, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, adalah anggota Unit Tindakan Khas yang menyediakan khidmat pengawal peribadi kepada pemimpin tertinggi negara, termasuk Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Kedua-duanya disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum mahkamah membuat keputusan terakhir dan kemudian ditahan di Sydney hampir 2 tahun.

Australia melarang ekstradisi pesalah ke mana-mana negara yang akan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Setev berkata, “sebagai seorang lelaki dan bapa”, beliau tidak akan berputus asa mencari kebenaran di sebalik pembunuhan anak perempuannya.

“Dengan kematian Altantuya, tidak semuanya selesai. Reputasi Malaysia tercalar. Hubungan antara Mongolia dan Malaysia menjadi dingin. Kehidupan keluarga saya musnah dan 2 anak dibiarkan tanpa hak untuk memanggil ‘ibu’ mereka,” katanya.

Beliau berkata, anak lelaki sulung Altantuya mula bekerja ketika berusia 11 tahun dengan membawa barang ke pasar untuk mencari wang bagi membeli ubat untuk adiknya.

“Ibu Altantuya menghidap gangguan psikologi dan seorang lagi ahli keluarga saya memerlukan jagaan orang lain.

“Anak lelaki Altantuya dilayan seperti penjenayah oleh orang lain di negara ini (Mongolia) dan ada 2 insiden di mana Mungunshagai, anak sulung, dan Altanzut, adik perempuan Altantuya, terpaksa mempertahankan diri daripada pembuli.

“Mereka berdepan penangkapan dan siasatan polis…dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Mongolia. Saya terpaksa menukar nama cucu saya.”

Setev berkata, beliau terpaksa menjual pangsapuri 2 biliknya untuk membayar kos perubatan cucu bongsunya dan perbelanjaan harian.

“Saya menanggung semua beban dan pada usia itu, saya terpaksa buat 3 kerja berbeza.

“Saya tidak fikir dengan memusnahkan anak perempuan saya pada 2006 semuanya akan selesai. Ia akan mempunyai kesan berlawanan dan akan diingati bertahun-tahun.

“Cara menghukum pesalah itu tertakluk kepada undang-undang. Bagi saya, saya menunggu 12 tahun untuk dengar ‘maaf’ daripada penjenayah dan kerajaan Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.