SPRM selesai ambil keterangan saya, kata Najib

SPRM selesai ambil keterangan saya, kata Najib

Ini selepas bekas perdana menteri itu memberi keterangan kepada SPRM sebanyak 2 kali yang keseluruhannya mengambil masa lebih 11 jam.

Free Malaysia Today
Najib keluar dari Ibu Pejabat SPRM selepas memberi keterangan kali ke-2 selama 6 jam 30 minit, hari ini.
PUTRAJAYA:
Datuk Seri Najib Razak berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan mereka selesai mengambil keterangan daripadanya dalam siasatan baru ke atas SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri turut memuji SPRM menjalankan tugas dengan profesional.

“Saya telahpun memberi keterangan hari ke-2 kepada SPRM, bermula dari 10 pagi sampai 4.30 petang,” katanya selepas keluar dari Ibu Pejabat SPRM sebentar tadi.

“Masa untuk solat zohor berehat dalam 40 minit dan saya telah menjawab semua soalan dengan sebaiknya dan SPRM telah melakukan kerja dengan profesional dan baik. Mereka kata sesi keterangan sudahpun selesai, jadi itu sahajalah.”

Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 9.45 pagi tadi diiringi peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan beredar dengan Toyota Vellfire berwarna putih selepas lebih 6 jam memberi keterangan kepada SPRM.

Ini adalah hari ke-2 beliau memberi keterangan kepada SPRM, selepas sesi pertama lebih 5 jam pada Selasa lalu.

Hari ini, warga Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 9 pagi tadi dengan ditemani 2 individu dipercayai untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes sama.

Justo meninggalkan SPRM 4 jam kemudian, kira-kira 1 tengah hari.

Pada 26 Januari 2016, peguam negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam siasatan ke atas SRC International dan dana RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadinya.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB, sehingga diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.