
Bagaimanapun, Ramli berkata, polis difahamkan Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu tidak berada di Kota Kinabalu pada ketika ini.
“Kami sedang mencari jalan untuk mendapatkan beliau. (Bagaimanapun), belum ada apa-apa waran dikeluarkan (terhadap Musa) ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ramli berkata setakat ini pihaknya telah merakamkan percakapan 9 individu, dan menurutnya kenyataan daripada Juhar juga telah direkodkan serta-merta selepas laporan polis dibuat pada 14 Mei lepas.
“Kami sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan cuba siapkan dalam masa terdekat. Kita memerlukan kenyataan daripada beliau (Musa) sebelum kertas siasatan dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut,” katanya.
Ramli berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.
Pada 10 Mei lalu, Musa telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah.
Bagaimanapun, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar 2 hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Adun BN berpaling tadah kepada Warisan.
Enggan meletak jawatan, Setiausaha Sulit kepada TYT, Abinan Asli pada 14 Mei menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa bahawa beliau bukan lagi ketua menteri.
Susulan itu, pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Juhar dan Shafie, memohon pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.