Shamsul Anuar letak jawatan pengerusi PTPTN

Shamsul Anuar letak jawatan pengerusi PTPTN

Shamsul menghantar surat peletakan jawatan pada 15 Mei lalu, susulan kekalahan BN pada 9 Mei lalu.

Free Malaysia Today
Shamsul Anuar Nasarah berkata, fokusnya sekarang hanya untuk berkhidmat sebagai ahli Parlimen Lenggong dan ahli Majlis Tertinggi Umno. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Datuk Shamsul Anuar Nasarah melepaskan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, surat peletakan jawatan itu dihantar 15 Mei lalu, susulan kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Saya sudah letak jawatan 15 Mei lalu,” katanya kepada FMT hari ini.

Shamsul yang menerajui PTPTN sejak 2013 berkata, fokusnya sekarang hanya untuk berkhidmat sebagai ahli Parlimen Lenggong dan ahli Majlis Tertinggi Umno.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Anuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Lenggong yang disandangnya sejak 2008, selepas menewaskan calon PAS dan PKR.

Semalam, Menteri Pendidikan yang baru, Maszlee Malik berkata, kementerian itu akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000.

Katanya, ia merupakan 10 janji dalam 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan dan perkara itu antara fokus utama jawatankuasa khas yang diketuai bekas ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan yang akan dibentuk dalam masa terdekat ini.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.