
Penerbangan MH370 itu, yang membawa 239 orang, hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Malaysia pada Januari bersetuju untuk membayar syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di Houston sebanyak AS$70 juta jika mereka berjaya temui pesawat itu dalam tempoh pencarian selama 90 hari di selatan Lautan Hindi.
Pencarian pesawat Boeing 777 sebelum ini dijangka berakhir pada Jun, kerana perjanjian 90 hari itu tidak mengambil kira pengisian semula minyak dan bekalan untuk kapal Seabed Constructor.
Ocean Infinity bagaimanapun tamat mencari kawasan sasaran itu pada April dan memohon lanjutan sehingga 29 Mei, kata Loke.
“Saya timbulkan perkara ini di Kabinet pagi tadi dan kami bersetuju untuk memberi lanjutan tempoh sehingga 29 Mei,” katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Ditanya sama ada ini bermakna tiada lagi lanjutan selepas tarikh itu, beliau berkata: “Ya.”
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Malaysia akan mengkaji semuladan mungkin menamatkan perjanjian dengan Ocean Infinity, dalam langkah untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Loke berkata kerajaan akan menerbitkan laporan penuh siasatan ke atas kehilangan MH370 selepas pencarian itu selesai, tetapi belum menetapkan tarikhnya.
Kumpulan yang mewakili waris penumpang, Voice 360, menyeru kerajaan mengkaji semula semua perkara berkaitan MH370, termasuk “sebarang kemungkinan pemalsuan atau penghapusan rekod berkaitan MH370 dan penyenggaraannya”.
“Saya tidak tahu butiran yang mungkin tidak didedahkan, tetapi sebagai menteri, saya komited mahu memngeluarkan semua maklumat kepada orang ramai,” kata Loke.
Keputusan untuk mengambil khidmat Ocean Infinity selepas Australia, China dan Malaysia menamatkan pencarian yang tidak berjaya dan menelan belanja AS$159.38 juta di kawasan seluas 120,000km persegi di Lautan Hindi tahun lepas, walaupun penyiasat menyeru kawasan pencarian dipanjangkan kepada 25,000km persegi ke arah utara.
Seabead Constructor sudah memeriksa 86,000km persegi setakat ini tetapi tiada penemuan besar, kata Ocean Infinity dalam kemaskini mingguan pada 15 Mei lepas.