
Tan Poh Chuan, 45, tiba pagi tadi untuk merakamkan suasana di luar rumah bekas perdana menteri itu di atas kertas lukisan.
“Hari ini hari pertama saya datang melukis di sini sebagai tanda solidariti bersama media yang bertugas membuat liputan di rumah Najib. Saya akan lukis keadaan media yang berpanas, berhujan ketika membuat liputan.

“Hasil lukisan ini nanti saya akan muat naik di Facebook saya untuk kenangan masyarakat,” katanya kepada FMT hari ini.
Poh yang juga seorang guru kelas melukis sejak 10 tahun lalu, juga pernah merakamkan suasana di perhimpunan Bersih 1 hingga 5, beberapa tahun lalu.
“Sebelum ini di perhimpunan Bersih juga saya ada lukis dan tempat-tempat lain yang menjadi detik bersejarah negara ini. Hobi saya memang melukis.”
Ditanya jika beliau menjual karyanya, katanya, ia bergantung kepada keadaan dan permintaan.
“Kalau ada orang nak beli, saya akan jual. Lukisan-lukisan saya harga antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi ukisan bersaiz A2 siap dengan warna,” katanya yang memiliki pusat seni lukis di Kepong untuk mempamerkan karyanya.
Rumah Najib di Taman Duta antara 6 premis yang digeledah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sejak malam Rabu lalu dalam siasatan kes 1MDB.
Orang ramai mula datang ke kawasan perumahan itu sejak malam Rabu lalu khas untuk bergambar dan ada pula yang mahu melihat sendiri keadaan sebenar.
Semalam, Najib ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung dalam siasatan baru ke atas SRC International Sdn Bhd.
SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib dalam kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.