Akademik: Tak adil bubar Majlis Profesor Negara

Akademik: Tak adil bubar Majlis Profesor Negara

Teo Kok Seong berkata, hanya segelintir ahli MPN yang terlalu mempertahankan pentadbiran BN.

Free Malaysia Today
Teo Kok Seong berkata, kerajaan baharu masih boleh memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran profesor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik terkenal menggesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan pembubaran Majlis Profesor Negara (MPN).

Datuk Dr Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli MPN berkata, beliau memahami sesetengah pihak melihat MPN sebagai lidah pentadbiran terdahulu, tetapi keadaan sebenarnya bukan begitu.

“Kita tidak boleh menafikan ada profesor dalam kalangan kami yang terlalu mempertahankan pentadbiran terdahulu, tetapi ini hanya segelintir orang sahaja.

“Profesor seperti itu boleh ditapis atau dikenakan tindakan, tetapi untuk membubarkan MPN, saya rasa ia tidak adil,” katanya kepada FMT.

Teo berkata, MPN yang ditubuhkan pada 2010, membantu memanfaatkan kepakaran kira-kira 3,000 profesor di negara ini dari pelbagai sektor.

Ini katanya, menyebabkan akademik terlibat dalam pembinaan negara dan merumuskan dasar di peringkat negeri dan persekutuan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan pembubaran MPN hari ini, pernah menghadiri persidangan MPN pertama dan ke-2.

“Kerajaan memperuntukkan banyak wang untuk melahirkan profesor. Kerajaan baharu masih boleh memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran kami. Sia-sia jika membataskan kami di universiti masing-masing.”

Sebelum ini, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menggesa kerajaan membubarkan MPN dengan mendakwa ia digunakan untuk mengesahkan pentadbiran Barisan Nasional, bukannya menggalakkan pengetahuan dan pembinaan negara.

Gerak berkata, profesor tidak sepatutnya diinstitusikan dan mereka perlu mempunyai kebebasan untuk melibatkan diri dengan kerajaan, kumpulan masyarakat awam atau pihak berkepentingan lain tanpa perlu melalui sebuah majlis seperti MPN.

Gaji menteri dipotong 10%, bubar SPAD dan Jasa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.