
Shukri memilih untuk bersara wajib pada 3 Oktober 2016, ketika sedang menyiasat kes berprofil tinggi itu sejak 2015 sebagai timbalan pengarah operasi SPRM. Jawatannya diambil alih Datuk Seri Azam Baki.
Katanya, beliau pada awalnya mahu menolak pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua SPRM kerana lebih selesa menjadi pesara.
“Saya terima tugasan ini untuk siapkan siasatan saya, selesaikan tugas saya yang belum selesai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Shukri berkata, beliau memohon persaraan awal pada 2016 dengan alasan mahu menyambung pengajian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah Ketua Pesuruhjaya SPRM baru, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang dianggapnya pengkhianat.
“Di akhir perkhidmatan (Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan saya, kami dengar desas-desus ketua setiausaha negara (KSN) tidak suka Tan Sri (Abu Kassim). Saya berusaha bersungguh-sungguh yakinkan KSN untuk letakkan Datuk Seri Mustafar Ali sebagai pengganti.
“Kemudian Dzulkifli dilantik sebagai ketua SPRM, saya takkan bekerja di bawah seorang pengkhianat.
“Dzulkifli datang pada 1 Ogos 2016 dan saya keluar bulan Oktober. Saya tidak akan kerja di bawah beliau.
“Saya buat permohonan berhenti awal dan pergi ambil kursus. Anda tahu saya ambil kursus apa? Saya ambil kursus bahasa Arab di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), saya tak kisah, asal dapat keluar dari SPRM.”