Najib tidak ditahan hari ini, kata bos SPRM

Najib tidak ditahan hari ini, kata bos SPRM

Shukri Abdull berkata, SPRM akan membuat keputusan lanjut selepas memanggil 2 saksi penting untuk kes SRC International.

Free Malaysia Today
Shukri Abdull berkata, SPRM hanya akan mengambil keterangan Najib hari ini untuk siasatan ke atas kes SRC International dan wang yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
PUTRAJAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull mengesahkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan ditahan hari ini.

Katanya, SPRM hanya akan mengambil keterangan Najib untuk siasatan ke atas skandal kewangan pada 2015 berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB dan wang yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

“Beliau tidak ditahan (hari ini), cuma akan ambil keterangan kerana kami ada maklumat tambahan.

“Jadi, beliau dipanggil untuk beri keterangan dan bukan untuk ditahan. Ini adalah sebahagian daripada siasatan lanjut mengenai Najib dalam SRC International, kalau bukti kata dia bersalah, dia bersalahlah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Selain Najib, katanya, SPRM juga akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan mereka.

“Kita panggil Datuk Seri Najib dulu, tapi kita masih melihat seorang, dua lagi saksi penting. Selepas itu kita boleh putuskan.”

Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International pada 9.42 pagi tadi dengan kawalan ketat polis.

Jumaat lalu, sepasukan pegawai SPRM ke rumah Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur, untuk menghantar notis memintanya hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan sumbangan RM2.6 bilion dan SRC International.

https://www.youtube.com/watch?v=XQ-kIa8NIks&feature=youtu.be

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.