Menteri baru lapor diri untuk tugas

Menteri baru lapor diri untuk tugas

Mereka sebahagian daripada fasa pertama ahli Kabinet yang mengangkat sumpah semalam.

Free Malaysia Today
Mat Sabu memeriksa perbarisan kawalan kehormat yang menyambutnya ke Kementerian Pertahanan.

KUALA LUMPUR/PUTRAJAYA: Tiga belas menteri yang mengangkat sumpah semalam, kebanyakannya pertama kali menjadi ahli Kabinet, melapor diri di kementerian masing-masing hari ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu tiba di ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, kira-kira 9.30 pagi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan memenangi kerusi Parlimen Kota Raja, antara 3 menteri pertama yang dinamakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu.

Free Malaysia Today
Gobind Singh melapor diri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya.

Sementara itu, peguam dari DAP, Gobind Singh Deo yang kini menteri komunikasi dan multimedia, tiba di kementeriannya di Putrajaya dan disambut sekumpulan pegawai kanan.

Beliau mengetik kad kehadiran di mesin perakam waktu kira-kira 8.30 pagi dan kemudian mempengerusikan mesyuarat dengan kakitangan kementerian.

Antara tugas pertama Gobind adalah memansuhkan Akta Anti-berita Tidak Benar yang diluluskan dan diwartakan sebagai undang-undang sebulan sebelum pilihan raya.

Free Malaysia Today
Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai kanan di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi, antara yang terawal melapor diri hari ini, dengan tiba di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 7.20 pagi.

Beliau kemudiannya mengadakan mesyuarat dengan pegawai Unit Perancangan Ekonomi.

Antara menteri baru yang melapor diri hari ini termasuk bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kewangan), Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik (pendidikan) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (kesihatan).

Turut mengangkat sumpah semalam ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (timbalan perdana menteri dan hal ehwal wanita), Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Kementerian Dalam Negeri), Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke (pengangkutan), Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub (pertanian), wakil rakyat PPBM, Rina Harun (pembangunan luar bandar), Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (perumahan dan kerajaan tempatan) serta pemimpin DAP, M Kulasegaran (tenaga manusia).

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.