
Beliau juga meminta mereka yang memberi hadiah kepada Najib dan keluarganya tampil membuat akuan bersumpah (SD) tentang hadiah masing-masing.
“Beliau boleh tunjukkan resit dan SD itu kepada pegawai penguat kuasa. Beliau disiasat atas skandal 1MDB dan skandal lain.
“Beliau kata sesetengah barangan yang diambil polis itu, sama ada dibeli atau dihadiahkan kepada mereka. Mana kita nak tahu jika barangan itu dicuri atau dibeli menggunakan duit hasil titik peluh mereka?
“Cara betul ialah menunjukkan resit pembelian dan sijil keaslian barangan yang dibeli Najib dan isterinya,” katanya kepada FMT.
Kadir diminta menjelaskan catatan di Facebooknya yang mendesak Najib menunjukkan bukti resit pembelian barangan yang dirampas polis.
Pada 17 Mei lepas, polis menggeledah 3 kondominium mewah di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan keluarga Najib, dan merampas 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dan 72 beg berisi barang kemas, wang tunai, jam tangan dan barang berharga lain.
Selain 3 kondominium itu, polis turut menggeledah 3 premis lain sejak malam Rabu lepas, iaitu kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.
Kadir berkata, resit biasanya diberikan kepada pelanggan membeli barang kemas atau barangan berjenama sebagai bukti jualan, dan Najib tentu menerima resit demikian jika beliau dan isterinya membeli barangan tersebut.
“Sekiranya barangan itu dihadiahkan kawan yang pemurah, mereka mesti beritahu ia adalah hadiah. Perlu ada SD yang membuktikan mereka memberi hadiah itu kepada Najib.”
Kenapa menteri kewangan simpan wang di bawah bantal?
Kadir turut mempersoalkan kenapa wang tunai dilaporkan ditemui dan beg bagasi, sedangkan rakyat Malaysia menyimpan wang di bank yang membantu ekonomi berkembang.
“Menyimpan wang di bawah bantal tidak menjana pendapatan. Kenapa beliau tidak menyimpannya di bank?
“Beliau simpan wang di rumah. Itu juga tidak selamat.”
Kadir berkata, penguat kuasa perlu menyiasat semua sumber pendapatan Najib.