
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak terkilan sekiranya PH menang berdasarkan agenda lebih baik, tetapi gabungan 4 parti itu sekadar menawarkan janji manis untuk merampas kuasa.
“Kempen bersifat terlalu menyerang peribadi, menabur fitnah, kebencian dan janji yang sebahagian besar jelas tidak dapat dilaksanakan. Malangnya, (ia) menyebabkan kekalahan kepada Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya tidak ralat kalau kalah kerana pihak satu lagi ada agenda yang lebih baik, tetapi sebaliknya terasa dalam hati saya bukan soal agenda, tetapi kempen memburukkan pemimpin,” katanya sewaktu berucap merasmikan mesyuarat tahunan cawangan Umno dan sayap bahagian Pekan, di Pahang, hari ini.
Bekas pengerusi BN itu berkata, sebelum PH memegang tampuk pentadbiran, pemimpinnya menjelajah ke seluruh negara mahu menyelamatkan negara, tetapi selepas menang, mereka mendakwa negara kini dalam keadaan stabil.
“Sewaktu kempen PRU14, mereka kata ekonomi Malaysia buruk, gagal, negara akan bankrap, hutang negara bertimbun-timbun. Tiba-tiba 3 hari selepas mentadbir negara, mereka kata ekonomi kukuh, mempunyai banyak rizab dan mampu uruskan hutang negara.
“Soalnya, tidak mungkin dalam masa 3 hari sahaja negara yang dikatakan sebagai negara bankrap boleh menjadi negara yang ekonominya kukuh.
“Mereka ini ada lampu ajaib ke, lampu Aladin ke, gosok-gosok lampu, tidak perlu lagi selamatkan Malaysia. Inilah yang saya rasa terkilan. Bukan kekalahan itu, tetapi kekalahan atas penyelewengan fakta.”
Beliau berkata, janji PH untuk menurunkan harga minyak tidak dilaksanakan kerana harga itu masih kekal seperti sebelum peralihan kuasa.
“Harga minyak turun mendadak kepada RM1.50 sen, tol akan dihapuskan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional akan dihapuskan dan lain-lain. Bila mereka berkuasa, berapa harga minyak? Kita tunggu bila harga minyak turun.
“Saya tahu sebab saya menteri kewangan dulu, dengan harga minyak RM2.30 sen, subsidi minyak yang perlu ditanggung kerajaan adalah RM600 juta sebulan. Kalau hendak kurang kepada RM1.50 sen, barangkali memerlukan sekali ganda, mungkin RM1.5 bilion.
“Kenapa janji harga minyak turun, kenapa beri satu harapan palsu, sehingga orang balik, naik kereta terbayang harga minyak 1.50 sen? Kita pula tidak janji yang palsu, kita janji apa yang mampu dilakukan.”